BERITA TERKINI   Polis rampas lebih 400,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam Ops Cyber Guardian - KPN | Ops Cyber Guardian : 69 individu ditahan kerana terlibat aktiviti pengedaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak - KPN | TH sedia lapan bas ulang-alik 24 jam dari penginapan hotel Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal berhampiran Masjidil Haram bermula hari ini- Ketua Rombongan Haji | Seniwati Maria Menado,94, meninggal dunia akibat sakit tua pada 12.25 tengah hari ini - Setiausaha Agung Seniman | Bursa Malaysia catat 16 IPO pada suku pertama 2026, dengan jumlah permodalan pasaran meningkat 11.4 peratus tahun ke tahun kepada RM2.1 trilion | 

Unit Avaland Beli Tanah Di Taman U-Thant Pada Harga RM86 Juta

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Avaland Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Nexus Advertising Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Tong Ah Company Sdn Bhd untuk mengambil alih tanah pegangan bebas di Taman U-Thant di sini pada harga RM86.04 juta.

Pembelian itu merangkumi tiga bidang tanah pembangunan pegangan bebas yang saling bersebelahan berkeluasan kira-kira 7,612.63 meter persegi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu memaklumkan cadangan pembelian berkenaan adalah selaras dengan objektif strategik jangka panjang kumpulan untuk memperkukuh dan memperluas jejaknya di Lembah Klang.

“Pembelian ini akan meningkatkan lagi kehadiran kumpulan dalam segmen kediaman mewah, berdasarkan sambutan pasaran yang kukuh dan kejayaan pembangunan mewah kumpulan sebelum ini, iaitu Aetas Damansara dan Aetas Seputeh,” katanya.

Ia menambah tanah itu terletak secara strategik di Taman U-Thant, sebuah kewasan kedutaan yang mapan dan eksklusif, terkenal dengan persekitaran berkepadatan rendah serta pembangunan kediaman mewah.

“Tanah itu terletak kira-kira 2 kilometer dari Pusat Bandar Kuala Lumpur dan 10 kilometer dari KL Sentral. Ia juga berhampiran dengan kemudahan utama seperti Pusat Perubatan Prince Court, Kelab Golf Diraja Selangor, beberapa sekolah antarabangsa yang terkemuka dan kemudahan gaya hidup premium,” katanya.

Syarikat itu memaklumkan ia berhasrat untuk membiayai pembelian berkenaan melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

“Kaedah pembiayaan yang tepat akan ditentukan oleh pihak pengurusan pada peringkat kemudian selepas mengambil kira tahap kadar hutang kumpulan, kadar faedah semasa dan keperluan aliran tunai dalaman kumpulan bagi menyokong operasi perniagaan yang sedang berjalan.

“Sekiranya tiada keadaan yang di luar jangka, cadangan pembelian ini dijangka selesai menjelang suku pertama 2027,” tambahnya.

-- BERNAMA