BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Pasaran Getah Dijangka Terus Menunjukkan Aliran Meningkat Minggu Depan

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pasaran getah dijangka meneruskan momentum menaik minggu depan, disokong oleh harga minyak mentah yang kukuh dan potensi gangguan bekalan. 

Menurut Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), harga getah yang mencapai paras tertinggi baharu minggu ini, berkemungkinan akan terus meningkat.

“Harga getah telah mencapai paras tertinggi baharu minggu ini dan trend menaik ini berkemungkinan akan berterusan hingga minggu depan, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh dan jangkaan gangguan bekalan susulan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas pelabuhan Iran,” kata MARGMA kepada Bernama. 

Persatuan itu menambah bahawa isyarat menggalakkan daripada dasar ekonomi terbaharu China mungkin dapat mengukuhkan sokongan terhadap permintaan. 

Bagaimanapun, pakar industri Denis Low berkata pasaran getah berkemungkinan akan mengalami sedikit turun naik, dengan kecenderungan yang lebih perlahan.

“Minggu hadapan sangat tidak menentu dan pasaran getah nampaknya berada dalam kedudukan bekalan yang terhad tanpa sebab yang munasabah,” katanya. 

Pasaran ditutup semalam (1 Mei 2026) bersempena dengan cuti umum Hari Pekerja dan akan meneruskan dagangan pada 4 Mei.

Bagi asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 18 sen kepada 859 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 6.5 sen kepada  751 sen sekilogram. 

-- BERNAMA