BERITA TERKINI   Pindaan Akta MARA sedia untuk dibentang kepada jemaah menteri dalam tempoh tiga minggu - TPM Ahmad Zahid | Malaysia mempunyai simpanan gas mencukupi untuk sokong pertumbuhan industri - Johari Ghani | Pasaran semikonduktor global diunjurkan mencecah AS$1 trilion menjelang 2030, beri potensi manfaat ekonomi kepada Malaysia - Johari Ghani | Dua lelaki maut, tiga lagi cedera dalam kemalangan di Simpang 3 Manik Urai Lama, Kuala Krai, pagi tadi - Bomba Kelantan | Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) rekod 506 kes sehingga semalam, 228 daripadanya libatkan penyelewengan diesel - Armizan | 

LPA, MIMA Meterai MoU Bagi Perkukuh Kerjasama Maritim

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 4 Mei (Bernama) -- Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Maritim Malaysia (MIMA) dalam usaha memperkukuhkan kerjasama, perkongsian pengetahuan dan kerjasama strategik dalam sektor maritim. 

Pengurus Besar LPA Mizool Amir Mat Drus berkata MoU yang ditandatangani di pejabat MIMA di sini hari ini, akan membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman, kepakaran, maklumat dan hasil penyelidikan berkaitan dengan pelabuhan dan pembangunan maritim. 

Beliau berkata kerjasama itu menandakan langkah penting ke arah membina sinergi antara LPA dan MIMA terutamanya ketika LPA dalam persiapan membangunkan Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Labuan 2027-2037.

“MoU ini akan berperanan sebagai platform untuk LPA dan MIMA bekerjasama rapat dalam bidang melibatkan pengetahuan maritim, hasil dasar, kepakaran teknikal dan pengalaman industri. 

“Kerjasama ini amat tepat pada masanya memandangkan LPA sedang berusaha mewujudkan Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Labuan 2027-2037, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Labuan pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.

Mizool berkata pelan induk yang dicadangkan itu akan menyediakan hala tuju jangka panjang untuk  pembangunan Pelabuhan Labuan, dengan mengambil kira kedudukan strategik pulau itu, potensi maritimnya, aktiviti gas dan minyak di luar pesisir, keperluan logistik dan peranannya sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa. 

Katanya, pengalaman MIMA sebagai institut penyelidikan dasar maritim negara akan menambah nilai kepada perancangan LPA, khususnya dalam memastikan penyelidikan, trend industri dan amalan maritim yang mampan menjadi panduan kepada pembangunan pelabuhan Labuan. 

Sementara itu, MIMA yang ditubuhkan pada 1993 merupakan institut penyelidikan dasar yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengkaji kepentingan Malaysia di laut dan berperanan sebagai pusat tumpuan penyelidikan negara dalam sektor maritim. 

Mizool berkata kerjasama itu juga akan menyokong usaha LPA untuk meningkatkan daya saing Pelabuhan Labuan, mengukuhkan tadbir urus maritim dan menambah baik peranannya sebagai pintu masuk perdagangan, logistik dan perkhidmatan maritim yang cekap. 

Beliau berkata pembangunan Pelabuhan Labuan mesti seiring dengan permintaan pada masa hadapan, terutamanya dalam menyokong industri industri gas dan minyak di luar pesisir, aktiviti perkapalan serantau, pergerakan kargo dan pembangunan ekonomi yang lebih meluas di pulau tersebut.

“Pelan induk itu bukan sekadar mengenai infrastruktur pelabuhan, tetapi juga mengenai meletakkan Pelabuhan Labuan sebagai pendorong utama kemajuan ekonomi untuk Labuan dalam dekad akan datang,” katanya. 

Mizool berkata Pelabuhan Labuan memainkan peranan penting sebagai pintu masuk maritim dan logistik bagi pulau itu, dengan operasi pelabuhan menyokong pengendalian kargo, penyelarasan perkapalan dan aktiviti berkaitan luar pesisir. 

-- BERNAMA