Bursa Malaysia Ditutup Tertinggi Intra Hari Disokong Belian Merentas Sektor
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra hari susulan pembelian merentas sektor, mencerminkan sentimen yang semakin baik dalam pasaran tempatan, kata penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama turut ditutup tinggi, disokong kenaikan kukuh saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi susulan kalangan pelabur yang terus beralih kepada sektor pertumbuhan sejajar peningkatan selera risiko global.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 17.75 mata atau 1.03 peratus untuk ditutup pada 1,739.77 berbanding 1,722.02 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 6.72 mata lebih tinggi pada 1,728.74, mencecah paras terendah 1,725.01 pada awal dagangan sebelum meningkat dan mengekalkan momentum sepanjang hari.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 668 berbanding 494. Sebanyak 582 kaunter tidak berubah, 877 tidak diniagakan dan 24 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.05 bilion unit bernilai RM2.55 bilion berbanding 2.91 bilion unit bernilai RM3.21 bilion pada Khamis.
Thong berkata beliau mengekalkan pandangan berhati-hati optimis terhadap pasaran tempatan, disokong pengumpulan terpilih dalam saham berwajaran tinggi serta sentimen pasaran yang bertambah baik.
“Bagaimanapun, sentimen dijangka kekal sederhana memandangkan ketegangan geopolitik di Asia Barat masih belum reda dan berpotensi mencetuskan perubahan hala tuju pasaran secara mendadak,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia yang mencapai paras tertinggi dalam tempoh empat tahun menunjukkan pengukuhan aktiviti asas serta peningkatan keyakinan perniagaan.
“Perkembangan ini mencerminkan pemulihan ekonomi yang semakin kukuh dan bukan sekadar bersifat kitaran, sekali gus menyokong peralihan pelaburan ke segmen saham bermodal sederhana dan kecil yang lebih bergantung kepada permintaan domestik,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sentimen positif turut disokong oleh peningkatan selera risiko global susulan prestasi pendapatan kukuh sektor teknologi Amerika Syarikat, yang terus mengukuhkan keyakinan terhadap daya tahan kitaran pendapatan global.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 20 sen kepada RM11.28, Public Bank menambah tujuh sen kepada RM4.75, Tenaga Nasional meningkat 26 sen kepada RM14.80, CIMB naik tiga sen kepada RM7.69 dan IHH Healthcare menokok lima sen kepada RM8.87.
Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI meningkat empat sen kepada 86 sen, Pegasus tidak berubah pada setengah sen, Malaysian Resources Corp naik dua sen kepada 36.5 sen, GIIB menokok lima sen kepada 16 sen dan VS Industry susut setengah sen kepada 20.5 sen.
Antara kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.38 kepada RM38.00, Hong Leong Industries naik 38 sen kepada RM17.70, KESM meningkat 32 sen kepada RM4.40 dan Vitrox menambah 31 sen kepada RM5.76.
Kalangan kaunter rugi utama pula, Nestle susut RM4.60 kepada RM103.80, Fraser & Neave turun RM1.28 kepada RM30.02, United Plantations merosot RM1.22 kepada RM30.52 dan PPB berkurang 26 sen kepada RM11.26.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 124.02 mata kepada 12,847.77, Indeks FBM Top 100 meningkat 128.21 mata kepada 12,689.04, Indeks FBM Emas Syariah naik 106.09 mata kepada 12,824.45, Indeks FBM Mid 70 melonjak 179.24 mata kepada 18,265.21 dan Indeks FBM ACE meningkat 17.95 mata kepada 4,636.06.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 2.96 mata kepada 837.71, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 205.29 mata kepada 20,090.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.09 mata kepada 196.22, manakala Indeks Perladangan meningkat 34.46 mata kepada 8,973.77.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.74 bilion unit bernilai RM2.27 bilion berbanding 1.83 bilion unit bernilai RM2.99 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 918.52 juta unit bernilai RM146.22 juta daripada 771.93 juta unit bernilai RM101.99 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 388.84 juta unit bernilai RM132.46 juta berbanding 308.47 juta unit bernilai RM114.03 juta pada Khamis lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 170.83 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (387.21 juta), pembinaan (165.91 juta), teknologi (346.47 juta), perkhidmatan kewangan (49.70 juta), hartanah (318.86 juta), perladangan (31.68 juta), amanah pelaburan hartanah (17.47 juta), dana tertutup (18,400), tenaga (83.55 juta), penjagaan kesihatan (58.78 juta), telekomunikasi dan media (34.32 juta), pengangkutan dan logistik (37.19 juta), utiliti (41.45 juta) serta amanah perniagaan (31,800).
-- BERNAMA