BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

Projek KSSA Kekal RM2.94 Bilion, Tiada Semakan Kos Setakat Ini

SHAH ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) masih berjalan seperti dirancang, dengan nilai komitmen kekal pada RM2.94 bilion walaupun wujud kebimbangan mengenai potensi kenaikan kos susulan krisis bekalan global. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Datuk Saipolyazan Mat Yusop berkata setakat ini tiada sebarang permohonan rasmi bagi semakan harga atau pelarasan oleh pihak kontraktor, sekali gus menyaksikan nilai komitmen projek itu kekal. 

“Ya, memang ada ura-ura bahawa kos akan meningkat, namun setakat ini kita belum ada menerima sebarang permohonan dan kita masih kekal kepada harga kontrak asal.

“Biasanya kontrak-kontrak sebegini mempunyai banyak elemen dan apabila harga diesel meningkat, bahan binaan juga biasanya akan turut naik sehingga mencetuskan kesan domino terhadap kos lain disebabkan rantaian bekalan yang begitu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya di Seksyen 17, di sini sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata pihaknya sedang memantau situasi semasa termasuk pergolakan di Asia Barat yang dikhuatiri boleh memberi impak kepada ekonomi global, namun sasaran menyiapkan projek tetap kekal pada Mei 2029.

“Setakat ini, kita masih kekal dengan jadual asal kita pada 2026 sehingga Mei 2029. Kita harapkan apa yang berlaku di Asia Barat tidak akan memberi kesan.

“Apabila kita menandatangani kontrak definitif DPCC (Reka Bentuk, Pembinaan, Pentauliahan dan Penyelenggaraan) dan sebagainya, kita akan memulakan kerja seterusnya untuk fasa kemajuan yang lebih rancak bagi memenuhi garis masa yang ditetapkan,” katanya.

Mengenai perkembangan di tapak, beliau berkata gerak kerja sedang berjalan mengikut jadual walaupun perubahan fizikal bangunan utama masih belum kelihatan secara jelas oleh pandangan umum.

Menurutnya projek pembangunan semula KSSA itu kini telah mencapai kemajuan awal sebanyak 9.16 peratus yang melibatkan kerja-kerja penyediaan tapak seperti pemasangan pagar serta aktiviti pemotongan dan penambakan tanah.

-- BERNAMA