MIMOS, Universiti Brunei Darussalam Bekerjasama Majukan Agenda Teknologi Mendalam
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- MIMOS International Venture Sdn Bhd (MIVSB) memeterai kerjasama strategik dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi memajukan agenda teknologi mendalam (deep-tech) Malaysia serta mempercepat pengkomersialan serantau.
Dalam satu kenyataan, MIVSB berkata kerjasama itu menandakan pencapaian penting dalam inovasi Malaysia-Brunei, di samping mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan membuka nilai penyelidikan melalui usaha pengkomersialan yang berstruktur.
“Kerjasama ini menggabungkan pengalaman Malaysia dalam pengkomersialan teknologi dengan keupayaan penyelidikan Brunei yang semakin berkembang, sekali gus mewujudkan peluang pertumbuhan bersama dan pertukaran pengetahuan,” kata MIVSB.
MIVSB merupakan cabang pengkomersialan MIMOS Bhd, pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menurut MIVSB kerjasama itu juga selari dengan agenda inovasi Malaysia di bawah MOSTI serta menyokong aspirasi Brunei untuk merealisasikan kecemerlangan penyelidikannya kepada impak sosioekonomi.
Kedua-dua pihak akan meneroka pembangunan ekosistem inovasi rentas sempadan, yang membolehkan penyelidikan, harta intelek dan syarikat pemula dibangunkan serta dipacu ke arah kesiapsiagaan pasaran di Malaysia dan Brunei, selain berpotensi menembusi pasaran ASEAN yang lebih luas.
"Paling penting, kerjasama ini dilihat sebagai platform penciptaan nilai bersama, menyokong pembangunan bakat, menggalakkan inovasi bertanggungjawab serta memperkukuh keupayaan serantau dalam teknologi baharu muncul,” kata MIVSB.
Pengarah Urusannya Mohamad Azriani Abd Aziz berkata pihaknya komited menyokong usaha memanfaatkan penyelidikan berpotensi kepada penyelesaian berimpak, di samping memudah cara hubungan dengan industri, pelabur dan pasaran lebih luas.
“Menerusi kerjasama ini, kami menyasarkan untuk menyumbang kepada landskap inovasi serantau yang lebih bersepadu dan dinamik,” katanya.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor UBD (Penglibatan Industri dan Pembangunan Keusahawanan), Dr Masairol Masri berkata kerjasama itu mencerminkan peralihan strategik universiti dalam memanfaatkan penyelidikan kepada impak sebenar.
“Melalui kerjasama dengan MIVSB, kami bukan sahaja memperkukuh hubungan industri, malah mewujudkan laluan jelas untuk inovasi, syarikat pemula dan bakat kami berkembang ke pasaran serantau dan global,” katanya.
Kerjasama itu dijangka memudah cara pertukaran pengetahuan, menyokong pembangunan perusahaan berteraskan inovasi serta menggalakkan penyertaan lebih luas pihak industri di kedua-dua negara.
Melalui kerjasama lebih erat, inisiatif ini menyumbang kepada usaha serantau yang lebih luas dalam memperkukuh ekosistem inovasi, meningkatkan daya tahan ekonomi serta memacu pertumbuhan mampan berasaskan teknologi.
-- BERNAMA