BERITA TERKINI   Amalkan politik matang, jangan main isu gugat perpaduan, titah Tengku Hassanal | KPKM kurangkan kebergantungan import jagung, soya, beras dan bawang susulan ketidaktentuan geopolitik global - Mohamad | Malaysia sokong mempercepat pelaksanaan Rangka Kerja Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN - PM Anwar | ASEAN terus menggesa kepada keamanan dan usaha meredakan ketegangan, namun perlu bersikap realistik - PM Anwar | PM Anwar cadang pelan keterjaminan makanan serantau sebagai persediaan semasa krisis | 

Malaysia Tidak Jual Minyak Kepada Negara ASEAN, Masih Perlu Import 400,000 Tong Sehari -- Johari

Daripada Niam Seet Wei

CEBU (Filipina), 7 Mei (Bernama) -- Malaysia tidak melakukan sebarang jualan minyak ke negara-negara anggota ASEAN kerana masih perlu mengimport kira-kira 400,000 tong minyak mentah sehari, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata walaupun Malaysia bernasib baik dari segi status sebagai sebuah negara pengeluar minyak, namun realitinya negara ini masih dianggap pengimport bersih berikutan keperluan import berkenaan.

“Memandangkan kita masih mengimport kira-kira 400,000 tong sehari, (maka) kita tidak boleh menjual (minyak),” katanya kepada wartawan Malaysia di sini selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-27 dan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jika ada negara anggota ASEAN meminta Malaysia menjual minyak susulan krisis bekalan global ketika ini.

Menjelaskan selanjutnya, Johari keadaan sebaliknya bagi gas asli cecair (LNG) yang mana Malaysia masih berperanan sebagai pengeksport bersih bahan berkenaan.

“Lebihan yang kita ada daripada LNG ini dapat membantu dari segi menampung kekurangan minyak mentah,” katanya.

Selain itu, Johari berkata kerajaan Malaysia pada masa ini masih mampu mengekalkan harga bahan api RON95 pada paras RM1.99 seliter.

Beliau berkata walaupun Malaysia sepertimana negara-negara lain yang terjejas akibat krisis Asia Barat yang berlanjutan, impaknya masih mampu diuruskan.

“Kita berharap agar perang ini segera berakhir walaupun tiada siapa pun yang dapat menjangkakan bila itu akan berlaku,” kata beliau.

-- BERNAMA