BERITA TERKINI   430 motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC dipanggil semula bermula 25 Mei berikutan isu teknikal - JPJ | Proses peralihan, penukaran MyKad Struktur Baharu tidak ganggu proses penebusan bantuan kerajaan termasuk SARA, BUDI95 - JPN  | Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.87 sen seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026 - Kementerian Kewangan | RON95 turun 15 sen kepada RM3.87 seliter berbanding RM4.02 bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei ini  - MOF | Harga RON97 turun 20 sen seliter kepada RM4.70 seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026 - Kementerian Kewangan | 

Sektor Penerbangan Fokus Kepada Daya Tahan Dan Kemampanan - Aci

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BANGKOK, 13 Mei (Bernama) -- Lapangan terbang sedang berkembang melangkaui peranan tradisional mereka sebagai hab pengangkutan, dan mereka semakin menumpukan pada daya tahan, kemampanan dan kebolehsuaian di tengah-tengah landskap global yang pesat berubah, menurut Ketua Pengarah Airports Council International (ACI) di Asia-Pasifik dan Timur Tengah, Stefano Baronci.

Beliau berkata industri itu sedang memasuki tempoh ketidakpastian yang semakin memuncak akibat konflik, gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan sektor tenaga dan dasar perlindungan.

Bagaimanapun, industri penerbangan terus mengharungi perubahan ekonomi global, perkembangan geopolitik dan cabaran berkaitan iklim dan kekal sebagai pemacu utama ketersambungan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap di Perhimpunan, Persidangan dan Pameran Serantau ACI Asia-Pasifik dan Timur Tengah hari ini

Persidangan selama tiga hari itu dihadiri kira-kira 500 perwakilan industri penerbangan.

Baronci berkata perkembangan geopolitik baru-baru ini termasuk ketegangan di Asia Barat telah menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan operasi dan keselamatan tenaga dalam sektor penerbangan khususnya di rantau Asia-Pasifik.

Rantau ini masih sangat bergantung pada bekalan tenaga yang melalui Selat Hormuz, menjadikan kestabilan serantau penting untuk perdagangan global, ketersambungan dan operasi penerbangan, katanya.

Pada masa sama, beliau berkata lapangan terbang dan syarikat penerbangan di Asia Pasifik menunjukkan kebolehsuaian kukuh dalam menguruskan cabaran operasi termasuk kos bahan api tidak menentu dan corak perjalanan yang sentiasa berubah.

“Daya tahan dan keupayaan penyesuaian bukan lagi satu pilihan. Ia merupakan prasyarat bagi persediaan masa depan dalam mendepani risiko yang lebih kerap, lebih kompleks dan lebih saling berkaitan,” katanya.

Baronci juga menekankan kepentingan kerjasama dan penyelesaian pelbagai hala dalam menangani cabaran global yang mempengaruhi penerbangan termasuk perubahan iklim, risiko keselamatan siber dan gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata lapangan terbang (di seluruh dunia) semakin banyak melabur dalam inisiatif penyahkarbonan, program daya tahan iklim dan pemodenan infrastruktur untuk menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang.

“Kegagalan untuk memenuhi komitmen iklim bukan sahaja akan menjadi kegagalan bagi sektor penerbangan, malah bagi masyarakat secara keseluruhannya, katanya.

Baronci menegaskan bahawa banyak bandar di Asia termasuk Jakarta, Manila, Bangkok dan Ho Chi Minh City, menghadapi tekanan alam sekitar yang berkaitan dengan peningkatan paras laut dan pembandaran yang menggariskan keperluan untuk perancangan jangka panjang dan pembangunan infrastruktur berdaya tahan.

Beliau juga berkata pelancong mungkin terus melihat harga tiket yang lebih tinggi ketika tempoh perjalanan sibuk pada bulan Julai berikutan syarikat penerbangan melakukan penyesuaian dengan keadaan pasaran operasi dan bahan api yang sentiasa berubah.

Berdasarkan analisis industri, beliau menyatakan bahawa tambang untuk laluan jarak jauh tertentu dari Asia mungkin antara 60 dan 70 peratus lebih tinggi berbanding beberapa tahun sebelum ini terutamanya untuk penerbangan yang terjejas oleh perubahan dalam ketersambungan Asia Barat.

Walaupun terdapat ketidakpastian global, beliau berkata sektor penerbangan ASEAN terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh dan kekal sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi serantau.

Baronci berkata lapangan terbang di ASEAN mengendalikan sekitar 700 juta penumpang pada 2025 dan hampir sembilan juta tan kargo.

Sektor itu juga menyumbang kira-kira AS$244 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ASEAN dan menyokong sekitar 23 juta pekerjaan melalui aktiviti langsung, tidak langsung dan berkaitan pelancongan.

Beliau berkata Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN telah memperkukuh ketersambungan serantau dan menyokong pertumbuhan syarikat penerbangan tempatan, terutamanya di Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Dalam pada itu, Baronci berkata masih terdapat potensi besar untuk meningkatkan lagi hubungan antara bandar-bandar sekunder dan mengembangkan kerjasama dengan pasaran utama seperti China, India dan Kesatuan Eropah.

Lapangan terbang harus terus memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan, pelancongan dan hubungan antara manusia di rantau ini.

“Apa yang bermula dengan kebimbangan mesti diteruskan dengan harapan,” katanya yang meluahkan keyakinan terhadap keupayaan sektor penerbangan untuk menyesuaikan diri dan berkembang dalam persekitaran keadaan global yang berubah-ubah.

-- BERNAMA