BERITA TERKINI   Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan lima tahun hingga 2031 - Menteri KBS | Malaysia perlu persiapkan tenaga kerja hadapi era AI melalui pendidikan lebih berkualiti, latihan kemahiran dan pembangunan bakat - PM Anwar | Keputusan Ant International wujudkan pusat operasi globalnya di Malaysia cerminkan keyakinan meningkat terhadap kekuatan negara dalam bidang teknologi, inovasi dan AI - PM Anwar | Teknologi, kewangan dan inovasi perlu wujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh industri tempatan, menyokong perniagaan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan mampu milik - PM Anwar | Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon Opsyen PBU Akademik Fasa Kedua - JPA | 

Malaysia Perlu Utamakan Daya Tahan Dalam Order Baharu Global - Liew

SUBANG JAYA, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia sedang mengalami perubahan penting dalam order global, yang memerlukan peralihan daripada usaha tradisional untuk mencapai kecekapan ekonomi kepada langkah mengutamakan daya tahan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

Beliau berkata landskap global telah berubah secara asasnya selepas dua dekad didominasi oleh persaingan dalam menghasilkan barangan yang lebih murah.

“Kita tidak lagi berada dalam dunia ‘just-in-time’. Kita kini berada dalam dunia ‘just-in-case’. Usaha mencapai kecekapan kini hampir berakhir. Kita perlu beralih daripada hanya memikirkan pengeluaran barangan murah, kita mesti mengambil kira aspek daya tahan pada setiap peringkat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi panel bertajuk “Confronting Global Economic Shocks: Lessons & Challenges for the Global South” di Universiti Sunway.

Walaupun Malaysia menghadapi krisis semasa dalam keadaan yang kukuh namun krisis bekalan global yang berterusan dijangka berlanjutan lebih lama daripada yang dijangkakan lebih awal.

Liew menjangkakan bekalan tenaga mungkin memerlukan enam hingga 12 bulan untuk pulih kepada tahap sebelum krisis, manakala harga pula mungkin mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan untuk kembali stabil.

Beliau menggesa perubahan dalam identiti ekonomi negara untuk memanfaatkan rantaian bekalan dan keupayaan domestik sedia ada, bagi mengharungi semua cabaran tersebut dan membina semula ekonomi dengan lebih baik.

“Kita perlu bergerak dengan melangkaui mentaliti sebagai negara perdagangan, dengan melihat negara ini sebagai negara teknologi,” katanya.

Beliau berkata keupayaan semikonduktor Malaysia berpotensi untuk berkembang lebih luas dan pesat meliputi peranti perubatan, teknologi pertanian dan industri pertahanan.

Bagi menggambarkan potensi daya tahan domestik, Liew berkata satu mesyuarat telah diadakan baru-baru ini yang melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pengguna plastik utama seperti Coca-Cola, serta pengendali kitar semula tempatan,

Walaupun pengguna tempatan kini mengimport barangan plastik separa siap dari China namun, Malaysia sebenarnya mempunyai industri kitar semula yang sofistikated dan mengeksport bahan berkualiti tinggi ke Eropah, katanya.

Beliau berkata usaha menghubungkan sektor yang beroperasi secara silo itu boleh menggalakkan ekonomi kitaran dalam negara.

Terdahulu, Pengerusi Citizens International dan moderator acara itu, Dr Shahridan Faiez berkata walaupun dunia moden saling berkait namun masih dicirikan oleh ketidaksamaan yang berterusan.

Beliau berkata masyarakat kini menghadapi krisis global yang lebih kerap, dari 1998, 2008 dan pandemik COVID-19, sekali gus memerlukan institusi lebih bersedia menghadapi dunia yang semakin tidak menentu.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Shakira Teh pula berkata walaupun Malaysia telah mempelajari banyak pengajaran berharga seterusnya membina penampan ekonomi susulan Krisis Kewangan Asia 1997-1998 namun, krisis moden kini berlaku dengan lebih kerap dan pantas.

Shakira yang membandingkan penggantian pesat krisis moden dengan “budaya rosot minda TikTok"  mengingatkan bahawa tumpuan berterusan terhadap penstabilan segera, seperti meningkatkan penggunaan, telah menyebabkan penggubal dasar terlepas pandang cabaran jangka masa panjang.

Beliau berkata kedudukan fiskal negara dan kecukupan perlindungan sosial telah dikenal pasti sebagai kekangan serta-merta.

Keperluan untuk meningkatkan pemahaman rakyat mengenai bantuan kerajaan seperti subsidi adalah penting justeru, orang ramai dan kalangan penggubal dasar perlu lebih bekerjasama, katanya.

Beliau menyeru supaya dasar lama utama dikaji semula secara berstruktur dan formal, seperti Dasar Ekonomi Baru, untuk menilai keberkesanan berterusan dan hala tuju masa depannya.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Citizens International serta Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), dengan dihadiri oleh wakil masyarakat sivil, kalangan penuntut serta diplomat asing dan media.

-- BERNAMA