BERITA TERKINI   10 kapal dijangka tiba berhampiran pantai Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam jika tidak berdepan gangguan - KP SNCC | 10 kapal kini dalam pelayaran di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza - KP SNCC | Lima kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat ini - KP SNCC | Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara lapan tahun dan didenda RM284.3 juta selepas didapati bersalah atas 12 tuduhan pengubahan wang haram | Kerajaan kekalkan bantuan Budi MADANI Diesel RM300 sebulan, bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak - Akmal Nasrullah | 

BESS Santong Pertama Di Malaysia Disambung Kepada Grid Nasional

DUNGUN, 18 Mei (Bernama) -- Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100MW/400MWj yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini merupakan sistem BESS pertama di negara ini yang disambung kepada grid nasional.

Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata kemudahan strategik yang terletak di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV BESS Santong itu dijangka memperkukuh kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik khususnya di Pantai Timur.

Katanya, sistem berkenaan turut menyokong integrasi tenaga boleh baharu (TBB) secara lebih meluas.

"BESS Santong memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan grid melalui keupayaan tindak balas pantas terhadap ketidakseimbangan bekalan dan permintaan elektrik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian BESS Santong 100MW/400MWh di PMU 132/11kV Santong di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof.

BESS Santong dibangunkan di kawasan seluas 1.2 hektar dan mula beroperasi pada 16 April lepas.

Abdul Razak berkata sistem BESS turut menggunakan teknologi penyejukan cecair serta keupayaan grid-forming yang membolehkan integrasi TBB pada skala lebih besar selain meningkatkan kecekapan operasi grid nasional.

“BESS Santong berfungsi sebagai ‘bank tenaga pintar' yang menyimpan elektrik daripada sumber TBB seperti ladang solar berskala besar dan sistem solar terapung hibrid hidro sebelum disalurkan semula ke grid apabila diperlukan.

“Melalui keupayaan ini, sistem dapat mengimbangi turun naik bekalan dan permintaan elektrik secara masa nyata khususnya ketika waktu puncak atau gangguan sistem sekali gus mengurangkan tekanan terhadap grid dan meningkatkan kestabilan bekalan elektrik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sistem berkenaan berupaya menyokong keperluan elektrik bersamaan kira-kira 40,000 isi rumah di Pantai Timur bergantung kepada corak penggunaan semasa.

Katanya, projek strategik itu berjaya disiapkan dalam tempoh 309 hari dari tarikh mula sehingga mula tugas sekali gus membuktikan keupayaan TNB melaksanakan projek infrastruktur tenaga secara cekap dan pantas

“Pendekatan analitik dan digital dalam meramal permintaan tenaga, mengoptimumkan pengagihan bekalan serta pemantauan aset secara masa nyata turut memperkukuh kecekapan operasi grid negara.

"Pembangunan BESS Santong selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam memperkukuh infrastruktur grid bagi menyokong integrasi TBB secara lebih meluas serta meningkatkan daya tahan sistem tenaga negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata BESS Santong memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem grid melalui keupayaan tindak balas pantas terhadap ketidakseimbangan bekalan dan permintaan.

"Sistem berkenaan menyokong pengurusan beban waktu puncak serta integrasi tenaga solar pada skala lebih besar melalui keupayaan grid-forming," katanya.

-- BERNAMA