BERITA TERKINI   Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | Lebih dua juta kenderaan dijangka guna rangkaian PLUS bermula Jumaat sempena musim cuti berganda - PLUS | 

PKS Digesa Tingkat Keupayaan, Terap Piawaian ESG Di Bawah NIF

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu meningkatkan keupayaan serta menyesuaikan diri dengan persaingan global dan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin meningkat di bawah Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) bagi memastikan mereka terus kekal dalam rantaian bekalan global, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan juga perlu mencari keseimbangan dalam menyediakan insentif di bawah rangka kerja berasaskan hasil itu tanpa menjadikannya terlalu ketat kepada PKS.

Afzanizam berkata landskap global yang semakin mencabar termasuk peningkatan risiko geopolitik, tarif dan kebimbangan berkaitan iklim memerlukan perancangan teliti serta keputusan pengagihan sumber yang berkesan oleh kerajaan.

“Dalam kes PKS, sama ada suka atau tidak, mereka perlu menerima tekanan daya saing ini dan meningkatkan keupayaan masing-masing. Jika tidak, jurang pendapatan akan terus melebar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi panel bertajuk “Tax Reforms: Navigating the Outcome-Based Era, A Strategic Briefing” pada Seminar Rangka Kerja Insentif Baharu Malaysia (NIF) anjuran Malaysian Investment Development Authority di sini hari ini.

Merujuk pengalaman Pulau Pinang dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), beliau berkata syarikat tempatan boleh bergabung dengan syarikat multinasional dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka sekiranya ekosistem serta sokongan dasar yang sesuai diwujudkan.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan Malaysia Datuk John Patrick Antonysamy berkata antara enam aspirasi pelaburan baharu di bawah NIF adalah memperluas jaringan domestik dengan menggalakkan pelabur asing yang beroperasi di Malaysia mengintegrasikan pembekal tempatan dalam rantaian bekalan mereka.

Beliau berkata kerajaan mahu pelabur yang menjalankan aktiviti pengeluaran dan perniagaan di Malaysia bekerjasama rapat dengan syarikat tempatan khususnya PKS meskipun ada di antaranya mungkin belum memenuhi piawaian atau tahap kualiti yang diperlukan.

Bagi menyokong usaha itu, katanya kerajaan memperkenalkan pakej insentif cukai jaringan domestik yang menggalakkan pelabur memperuntukkan dana bagi melatih syarikat tempatan serta memindahkan kepakaran untuk membantu mereka memasuki rantaian bekalan global.

“Kami mahu syarikat tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan pelabur,” katanya sambil menambah usaha itu akan menjadikan pelaburan lebih mampan apabila pelabur semakin bergantung kepada pembekal tempatan. 

PKS juga pada akhirnya akan mendapat manfaat dengan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai, sejajar matlamat lebih luas NIF untuk meningkatkan penyertaan ekonomi dan memperkukuh jaringan domestik.

-- BERNAMA