Anak Syarikat Maxis Terbit Dua Siri Baharu Sukuk Murabahah Berjumlah RM1 Bilion
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Maxis Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd (MBSB) menerbitkan dua siri baharu Sukuk Murabahah, berjumlah RM1.0 bilion dalam nilai nominal, selaras dengan program Sukuk Murabahah tanpa penarafan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maxis memaklumkan MBSB menerbitkan dua Sukuk Murahabah bernilai RM500 juta, masing-masing dengan tempoh tujuh tahun dan 10 tahun.
Menurut penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu, hasilnya akan digunakan untuk pembiayaan semula hutang, perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja am.
Terbitan baharu itu adalah sebahagian daripada Program Sukuk Murabahah Tanpa Penarafan bernilai RM10.0 bilion yang diwujudkan oleh MBSB pada 29 Jun 2016.
-- BERNAMA