Untung Bersih TH Plantations Susut Kepada RM11.62 Juta Pada Suku Pertama 2026
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- TH Plantations Bhd mencatat penyusutan 9.49 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM11.62 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2026, daripada RM12.84 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil bagaimanapun, meningkat sebanyak 3.33 peratus kepada RM189.48 juta daripada RM183.38 juta sebelum ini, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
"Hasil yang lebih tinggi itu didorong oleh jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih tinggi, disokong oleh pengeluaran buah tandan segar yang meningkat, meskipun harga jualan purata yang direalisasikan adalah lebih rendah," tambahnya.
Dalam kenyataan berasingan, TH Plantations memaklumkan sepanjang suku ini, hasil meningkat sebanyak 16 peratus, manakala kadar perahan minyak dan kadar perahan isirung masing-masing naik sebanyak enam peratus dan 13 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas, mencerminkan prestasi operasi yang lebih kukuh di seluruh ladang dan kilang kumpulan.
Ia menambah fokus kumpulan terhadap pengoptimuman inisiatif ‘hasil yang mudah dicapai’ (low-hanging fruit) telah memperkukuh disiplin pelaksanaan, mempercepat penambahbaikan operasi dan membolehkan penyampaian hasil yang bermakna secara cekap dan konsisten.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations Datuk Borhan Bachi berkata kumpulan akan terus mempergiat inisiatif pengoptimuman kos di samping meningkatkan produktiviti ladang dan kecekapan penuaian.
"Inisiatif ini dijangka memperkukuh lagi daya tahan operasi kumpulan dan menyokong kestabilan pendapatan. Langkah itu amat penting dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, cabaran pasaran buruh dan turun naik harga komoditi," katanya.
Mengenai prospek, TH Plantations menyatakan keadaan operasi dijangka kekal mencabar, terutamanya dipengaruhi oleh turun naik harga MSM dan peningkatan kos operasi berikutan ketegangan geopolitik yang timbul dari konflik Asia Barat.
Ia menambah harga MSM dijangka kekal menyokong dan keseluruhan pergerakan harga jualan dijangka lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi peningkatan kos operasi, sekali gus memberikan kesan positif terhadap prestasi pendapatan kumpulan.
-- BERNAMA