BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada Pusat Jantung Hospital Serdang atas pencapaian membanggakan dalam beri rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat | Tumpuan pembangunan negara tidak hanya kepada digital, teknologi malah berpaksi nilai berteraskan agama - PM Anwar | Kerajaan terus beri sokongan jayakan sambutan Hari Wesak bagi hormati masyarakat Buddha di negara ini - PM Anwar | PM Anwar seru majoriti yang cintakan Malaysia tidak biarkan negara ditawan naratif kebencian | PM Anwar mahu agensi berkaitan turun padang bantu PKS, perjelas pembiayaan disediakan kerajaan | 

Keuntungan Bersih Tahun Kewangan 2026 Alliance Bank Melonjak Kepada RM826.53 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd melonjak 10.1 peratus kepada RM826.53 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM750.73 juta yang dicatatkan dalam tahun sebelum ini.

Pendapatan untuk tahun kewangan 2026 juga meningkat kepada RM2.47 bilion daripada RM2.27 bilion.

“Prestasi kewangan Alliance Bank didorong oleh pertumbuhan dalam pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).

“NII sebanyak RM2.01 bilion telah dipacu oleh volum pinjaman yang lebih tinggi, manakala margin faedah bersih (NIM) berada pada 2.34 peratus. NOII naik 42.0 peratus dari tahun ke tahun kepada RM459.2 juta,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam berkata prestasi bank untuk tahun kewangan 2026 mencerminkan pelaksanaan berdisiplin strategi Acceler8 dan daya tahan model perniagaannya yang pelbagai.

 

“Dalam mengharungi ketidaktentuan global, kami menumpukan untuk memanfaatkan asas kewangan bank yang kukuh bagi menyokong pelanggan kami, mendokong perjalanan peralihan mereka selain menyampaikan nilai jangka panjang yang bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

 

Pelaksanaan pelan strategik Acceler8 memudahkan pengembangan dalam pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kumpulan, yang menokok 7.5 peratus dari tahun ke tahun untuk mencecah RM67.2 bilion.

Pertumbuhan ini sebahagian besarnya telah dipacu oleh kemajuan dalam segmen pengguna, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perbankan komersial, yang masing-masing bertambah sebanyak 9.0 peratus, 7.4 peratus dan 13.2 peratus.

Nisbah akaun semasa/simpanan (CASA) kumpulan ialah 37.5 peratus, dengan deposit pelanggan mencecah RM71.6 bilion.

“Strategi pembiayaan kami telah membolehkan kumpulan mengekalkan nisbah perlindungan mudah tunai yang teguh dan nisbah pinjaman kepada dana, masing-masing pada 158.5 peratus dan 85.3 peratus,” tambahnya.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2026, keuntungan bersih Alliance berjumlah RM206.04 juta berbanding RM197.49 juta, manakala hasil berjumlah RM593.08 juta daripada RM563.24 juta.

Sementara itu, lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua peringkat satu sebanyak 9.74 sen sesaham yang akan dibayar menjelang 29 Jun 2026.

-- BERNAMA