BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada Pusat Jantung Hospital Serdang atas pencapaian membanggakan dalam beri rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat | Tumpuan pembangunan negara tidak hanya kepada digital, teknologi malah berpaksi nilai berteraskan agama - PM Anwar | Kerajaan terus beri sokongan jayakan sambutan Hari Wesak bagi hormati masyarakat Buddha di negara ini - PM Anwar | PM Anwar seru majoriti yang cintakan Malaysia tidak biarkan negara ditawan naratif kebencian | PM Anwar mahu agensi berkaitan turun padang bantu PKS, perjelas pembiayaan disediakan kerajaan | 

Dagangan Bursa Malaysia Dijangka Meningkat Minggu Depan

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan yang cenderung mencatat peningkatan kecil pada minggu depan susulan penyusutan baru-baru ini ketika aktiviti belian saham berharga rendah serta peningkatan sentimen pelabur menyokong saham wajaran tinggi terpilih.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pemulihan pada Jumaat (semalam) dijangka berterusan sehingga minggu depan, dipacu oleh jualan besar-besaran sebelum ini yang turut menarik aktiviti pembelian saham berharga rendah, terutama dalam sektor yang kekal bertahan serta saham dengan dividen tinggi.

“Walaupun sentimen luaran kekal dipengaruhi oleh peningkatan pulangan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), (faktor-faktor lain seperti) kebimbangan mengenai inflasi dan ketidaktentuan geopolitik, aliran jangka pertengahan lebih meluas bagi pasaran tempatan terus memaparkan daya tahan, disokong oleh mudah tunai institusi domestik yang stabil.

“Kami juga percaya prestasi pendapatan Nvidia yang lebih kukuh daripada jangkaan awal dan optimis berterusan berkaitan aliran perbelanjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), terus menyuntik sentimen teknologi global yang positif dan secara tidak langsung menyokong pasaran ekuiti serantau, termasuk Bursa Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Dari sudut teknikal, beliau berkata kemampuan untuk bertahan melepasi paras sokongan 1,700-1,705 juga membolehkan indeks petunjuk utama melantun ke arah zon rintangan 1,725-1,730. Momentum kenaikan itu akan dipengaruhi oleh aliran masuk dana asing yang lebih kukuh serta peningkatan sentimen risiko global.

Pada minggu ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.9 peratus pada April 2026 dengan mata indeks menokok kepada 136.9 daripada 134.3 manakala produktiviti buruh di Malaysia mencatatkan RM45.5 per jam bekerja pada suku pertama 2026, berkembang 4.8 peratus berbanding 5.8 peratus suku sama tahun lepas.

Semalam, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengumumkan jumlah perdagangan Malaysia melonjak 15.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.127 trilion bagi tempoh Januari hingga April 2026 sekali gus mencipta sejarah baharu.

Secara meluas, pertumbuhan ekonomi Malaysia terus meningkat sebanyak 5.4 peratus berbanding 6.2 peratus pada suku sebelumnya.

Pada minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia menyaksikan dagangan yang kebanyakannya rendah ketika sentimen global terhadap risiko kian suram dan menjejaskan keyakinan pelabur.

Bagi perbandingan mingguan, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 27.55 mata kepada 1,712.67 daripada 1,740.22 seminggu sebelumnya.

Di papan indeks pula, Indeks FBM susut sebanyak 188.64 mata kepada 12,706.23, Indeks FBMT 100 turun 186.55 mata kepada 12,546.76, Indeks FBM Emas Shariah merosot 178.68 mata kepada 12,644.17, Indeks FBM Mid 70 menguncup 206.71 mata kepada 18,298.30 manakala Indeks FBM ACE kehilangan 16.77 mata kepada 4,725.97.

Dari segi sektor, Indeks Perladangan susut 1.16 mata kepada 8,584.27, Indeks Tenaga turun 16.34 mata kepada 792.55, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 257.21 mata kepada 19,997.10 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.68 mata kepada 200.630.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 18.19 bilion unit bernilai RM17.65 bilion berbanding 21.10 bilion unit bernilai RM16.89 bilion pada minggu sebelumnya.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan merosot kepada 9.49 bilion unit bernilai RM15.69 bilion daripada 11.53 bilion unit bernilai RM14.79 bilion sebelum ini.

Waran pula berkurangan kepada 4.84 bilion unit bernilai RM614.26 juta berbanding 5.86 bilion unit bernilai RM811.42 juta pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 3.58 bilion unit bernilai RM1.42 bilion daripada 3.69 bilion unit bernilai RM1.28 bilion dalam minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia akan ditutup pada 27 Mei, 2026, bersempena dengan cuti umum Aidiladha dan akan beroperasi semula pada 28 Mei, 2026.

Selain itu, bursa akan turut ditutup pada 1 dan 2 Jun, 2026, bersempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong serta Hari Wesak dan beroperasi semula pada 3 Jun, 2026.

-- BERNAMA