Malaysia Berpotensi Terajui Pembangunan Grid Tenaga ASEAN - TNB
Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk menerajui pembangunan tenaga pintar dan lestari di rantau ASEAN khususnya menerusi usaha merealisasikan Grid Tenaga ASEAN (APG), kata Ketua Pegawai Kanan Strategi, Regulatori dan Kelestarian Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Muhamad Nazri Pazil.
Beliau berkata kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah ASEAN, infrastruktur grid bertaraf dunia, ekosistem tenaga yang matang serta dasar yang menyokong agenda peralihan tenaga memberi kelebihan kepada negara untuk memainkan peranan lebih besar di peringkat serantau.
“Dari segi kedudukan strategik yang ada, ia membolehkan kita bekerjasama dengan rakan-rakan utiliti tenaga yang lain melalui inisiatif yang kita panggil APG.
“Dengan adanya APG ini, kita boleh berkongsi tenaga. Semasa terdapat permintaan tinggi di sesebuah negara, kita boleh membantu,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan BERNAMA TV pada Khamis.
Muhamad Nazri berkata Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun, 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan menjadi platform penting untuk negara ASEAN membincangkan langkah mempercepatkan realisasi APG.
Beliau berkata persidangan itu akan disertai peserta dari Malaysia, rantau ASEAN dan luar ASEAN dengan kira-kira 2,000 delegasi daripada pelbagai negara serta latar belakang teknikal dijangka hadir.
“Dalam konteks ETCon ini, ia amat ketara kerana kita menyediakan platform itu.
“Akan ada penyertaan daripada negara ASEAN dan kita boleh berbincang bagaimana untuk mempercepatkan lagi hasrat kita merealisasikan APG ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama tenaga rentas sempadan, beliau berkata inisiatif Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS) merupakan sambungan pertama yang membolehkan pemindahan tenaga secara komersial dan bagi tujuan keterjaminan bekalan.
Beliau berkata terdapat lima lagi projek lain dalam perancangan dan kajian kebolehlaksanaan termasuk sambungan Vietnam-Malaysia-Singapura (VMS), Sarawak-Semenanjung-Singapura, selain peningkatan keupayaan sambungan Malaysia dengan Thailand dan Singapura.
“Jika adanya keterhubungan antara negara ASEAN ini, kita boleh memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga.
“Kita tahu sekarang ini ada isu geopolitik, kos gas pun naik, jadi apabila kita ada tenaga boleh baharu (TBB) yang boleh dikongsi, ini menyebabkan kos boleh dikawal,” katanya.
Muhamad Nazri berkata kerjasama sedemikian juga membolehkan TBB dari negara seperti Laos yang mempunyai sumber hidro serta Vietnam yang mempunyai sumber angin, disalurkan ke negara lain termasuk Malaysia dan Singapura.
Mengenai ETCon26, beliau berkata persidangan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof akan menyampaikan ucaptama pada hari pertama.
Katanya lebih 80 penceramah mengesahkan penyertaan selain 40 penaja yang akan membuka reruai masing-masing sepanjang persidangan itu.
Beliau berkata ETCon26 juga akan memberi tumpuan kepada bagaimana tenaga dan kecerdasan buatan (AI) boleh digabungkan untuk memacu peralihan tenaga di Malaysia serta rantau Asia.
Muhamad Nazri berkata ETCon26 tidak seharusnya terhenti sebagai ruang persidangan semata-mata sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas melalui kerjasama strategik, pelaburan dan pelaksanaan.
“Dalam ETCon26 ini, akan ada 16 pertukaran kerjasama strategik dan juga pelancaran,” katanya.
Beliau berkata matlamat akhir ETCon adalah untuk menjadi pemangkin kepada pelaksanaan sebenar peralihan tenaga dengan impak yang boleh dilihat dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.
-- BERNAMA