Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kelemahan Dalam Harga Minyak Mentah
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin disebabkan oleh harga minyak mentah yang lebih lemah, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata kelemahan dalam harga minyak mentah telah menjejaskan harga minyak sawit, memandangkan penggunaannya secara meluas sebagai bahan mentah biobahan api.
Ketika ini, minyak mentah Brent jatuh 5.28 peratus kepada US$98.07 setong.
Jangkaan permintaan yang lebih perlahan pada minggu-minggu akan datang turut menambah tekanan ke atas harga.
“Terdapat penurunan dalam permintaan dari India selepas adanya minyak sayuran lain yang agak murah sehingga menjadikan minyak sawit kurang berdaya saing.
“Kami melihat harga disokong pada paras RM4,400 dan rintangan pada RM4,580,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak Jun 2026 susut RM20 kepada RM4,410 satu tan, Julai 2026 merosot RM17 kepada RM4,446 satu tan dan Ogos 2026 turun RM13 kepada RM4,473 satu tan.
September 2026 menyaksikan penurunan sebanyak RM9 kepada RM4,493 satu tan manakala Oktober dan November 2026 masing-masing rugi RM8 kepada RM4,517 serta RM4,544 satu tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 57,304 lot berbanding 76,909 lot yang dicatatkan pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 282,395 kontrak daripada 280,499 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan adalah lebih rendah sebanyak RM50 kepada RM4,450 satu tan.
-- BERNAMA