IHH Healthcare Tumpu Teknologi, Kecekapan Operasi Tangani Peningkatan Kos

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- IHH Healthcare Bhd memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), kecekapan operasi dan pengembangan penjagaan ambulatori bagi mengurus peningkatan inflasi perubatan tanpa memindahkan sebahagian besar kos kepada pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Prem Kumar Nair berkata inflasi perubatan di semua pasaran ketika ini berada pada paras dua digit peratusan, namun kumpulan itu hanya menaikkan harga sekitar dua hingga tiga peratus sahaja.

“Di semua negara, inflasi perubatan kini berada pada paras belasan peratus, manakala di Singapura juga agak tinggi.

“Oleh itu, walaupun inflasi perubatan meningkat, kami hanya boleh menaikkan harga paling tinggi sekitar dua hingga tiga peratus. Kami tidak menaikkan harga mengikut kadar inflasi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan ke-16 syarikat itu di sini hari ini.

Beliau berkata inovasi perubatan, penambahbaikan perolehan, penggunaan teknologi serta peningkatan kecekapan tenaga kerja membolehkan kumpulan itu terus mencatat prestasi kukuh walaupun berdepan peningkatan kos.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Dilip Kadambi berkata IHH Healthcare sedang melabur dalam pusat penjagaan ambulatori dan kemudahan penjagaan harian di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan China yang menawarkan hasil rawatan sama pada kos lebih rendah berbanding rawatan pesakit dalam di hospital.

“Seiring perkembangan teknologi, sebahagian prosedur kini boleh dilaksanakan dengan selamat tanpa memerlukan rawatan pesakit dalam.

“Hasil rawatannya tidak berbeza, namun kosnya jauh lebih rendah. Kos modal untuk membangunkan pusat penjagaan harian juga lebih rendah berbanding hospital,” katanya.

Mengenai kesan ketegangan geopolitik terhadap rantaian bekalan farmaseutikal, Dilip berkata kebanyakan bekalan perubatan kumpulan diperoleh dari Asia, manakala hanya sebahagian kecil diimport dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata IHH Healthcare menyasarkan pertumbuhan berterusan dengan perbelanjaan modal yang lebih rendah, disokong pelaburan dalam pusat ambulatori dan penjagaan harian.

“Perbelanjaan modal yang dirancang tahun ini adalah antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion di seluruh kumpulan, berbanding RM3.5 bilion tahun lepas.

“Kami merasionalisasikan perbelanjaan modal, namun tidak berkompromi terhadap pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan Kumpulan Keith Lim berkata dalam persekitaran kos penjagaan kesihatan yang meningkat kumpulan itu turut meneroka penggunaan ubat generik sebagai alternatif kepada ubat berjenama.

“Kami amat menyokong perkara ini. Kami cuba menggunakan ubat generik yang sesuai bagi menjimatkan kos, bukan sahaja untuk kami tetapi juga pesakit,” katanya.

Mengenai operasi di Turkiye, Dr Prem berkata operasi melibatkan pesakit dari Asia Barat tidak begitu terkesan susulan konflik semasa berikutan mereka mempunyai sumber pesakit asing yang pelbagai dan turut beroperasi di Eropah.

“Turkiye merupakan penyumbang penting kepada kumpulan,” katanya sambil menambah bahawa kumpulan melihat peluang pertumbuhan di negara itu serta pasaran utama lain.

-- BERNAMA