Hong Leong Bank Catat Untung Bersih Suku Ketiga Lebih Tinggi Kepada RM1.03 Bilion
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Hong Leong Bank Bhd mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi kepada RM1.03 bilion pada suku ketiga berakhir 31 Mac, 2026 daripada RM946.70 juta pada suku ketiga 2025.
Hasil turut meningkat sedikit kepada RM1.58 bilion daripada RM1.55 bilion sebelum ini, menurut bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh sembilan bulan, untung bersih ialah RM3.29 bilion, meningkat daripada RM3.18 bilion tahun lepas, manakala hasil juga menokok kepada RM4.93 bilion daripada RM4.78 bilion sebelum ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kevin Lam berkata prestasi syarikat bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan kekal berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
“Kami kekal kukuh dan adaptif dalam latar belakang perniagaan yang mencabar ini yang membolehkan kami mencatat keuntungan selepas cukai yang lebih tinggi sebanyak RM3.29 bilion, disokong oleh pertumbuhan hasil, pengurusan kos strategik dan kualiti aset yang sihat,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Lam menambah pinjaman/pembiayaan kasar mengekalkan momentum pertumbuhannya, dengan pengembangan 8.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y), dipacu oleh pertumbuhan merentasi segmen utama termasuk gadai janji, pinjaman kenderaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perbankan komersial, di samping pasaran luar negara yang utama.
Beliau berkata Hong Leong Bank terus proaktif dalam memberikan sokongan berterusan untuk pelanggannya, bagi memastikan mereka yang menghadapi masalah dapat mengharungi fasa mencabar ini, di samping mengekalkan kualiti aset yang sihat dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) keseluruhan sebanyak 0.6 peratus.
Bank itu menyatakan nisbah perlindungan nilai pinjaman berhemat (LIC) berada pada paras 81.1 peratus setakat 31 Mac, 2026.
Kedudukan modal bank pula kekal sihat dengan nisbah CET 1, Tier 1 dan Jumlah Modal masing-masing berada pada paras 12.4 peratus, 13.3 peratus dan 15.4 peratus.
Sementara itu, deposit pelanggan bagi sembilan bulan 2026 berkembang 8.3 peratus tahun ke tahun kepada RM243.5 bilion, dengan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM77.9 bilion, sekali gus membawa kepada komposisi CASA sebanyak 32 peratus.
Nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) berada pada paras 88.0 peratus setakat 31 Mac, 2026, manakala purata nisbah perlindungan mudah tunai (LCR) bagi tempoh 12 bulan terkumpul berada pada paras 129.0 peratus, jauh melebihi keperluan kawal selia.
Mengenai prospek, Lam berkata ketika negara sedang mengemudi landskap makroekonomi yang dinamik, keutamaan bank kekal kepada usaha memperkukuh operasi terasnya melalui transformasi rangkaian cawangan, memperdalam pakatan strategik dan meningkatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) serta digital.
“Seperti biasa, kami kekal komited menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi strategi dan amalan perniagaan bagi memastikan kami mencipta impak positif yang berkekalan kepada komuniti dan pihak berkepentingan kami,” kata beliau.
Sementara itu, untung bersih Hong Leong Capital Bhd berada pada RM10.07 juta pada suku ketiga 2026, manakala hasil berjumlah RM76.81 juta.
Pengerusinya Tan Kong Khoon berkata pada masa hadapan, Hong Leong Capital sedang memajukan keupayaan digitalnya dengan mempercepatkan penggunaan AI di seluruh peringkat.
“Berpandukan Pusat Kecemerlangan AI baharu kami, kumpulan berada di barisan hadapan dalam melaksanakan penggunaan AI ejen untuk fungsi pengurusan risiko dan kawalan bank.
“Keputusan awal menunjukkan pengurangan masa yang ketara dalam menyelesaikan tugas-tugas rutin, memperkukuh kawalan dan memperkasa tenaga kerja kami untuk memberi tumpuan kepada inisiatif yang menjana nilai,” tambah beliau.
-- BERNAMA