BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

RAM Ratings Kekal Positif Sektor Tenaga Malaysia Disokong Prospek Memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengekalkan pandangan positif terhadap sektor tenaga Malaysia disokong momentum peralihan tenaga negara serta rangka kerja kawal selia yang kukuh menerusi dasar utama nasional termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan pelan hala tuju di peringkat negeri.

Naib Presiden Kanan Penarafan Infrastruktur dan Utiliti RAM Ratings Chong Van Nee berkata setakat akhir Disember 2025, tenaga boleh baharu (RE) merangkumi kapasiti terpasang sebanyak 12 gigawatt (GW) atau 31 peratus daripada jumlah kapasiti keseluruhan, sekali gus meletakkan negara di landasan tepat untuk mencapai sasaran interim 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

“Kemajuan berterusan akan bergantung kepada kesinambungan dasar, pelaksanaan yang berdisiplin, penyelarasan pihak berkepentingan yang berkesan serta akses berterusan kepada pembiayaan jangka panjang,” katanya dalam ulasan khas bertajuk ‘Power Insight: Advancing Sustainable Energy Transition’ yang dikeluarkan hari ini.

Chong berkata sektor RE Malaysia berkembang pesat, dipacu penambahan kapasiti solar fotovolta utiliti berskala besar serta pelaksanaan awal sistem penyimpanan tenaga bateri berskala grid bagi menangani isu gangguan bekalan dan memperkukuh kestabilan sistem grid.

Beliau berkata loji jana kuasa baharu berasaskan gas dijangka menyediakan kapasiti bekalan stabil susulan loji jana kuasa arang batu dihentikan secara berperingkat, manakala kajian kebolehlaksanaan terhadap sumber rendah karbon baharu termasuk tenaga nuklear mampu mempelbagaikan lagi campuran penjanaan tenaga negara.

“Dengan perkembangan ini, projek melibatkan kira-kira 20 GW kapasiti loji jana kuasa baharu yang kini sedang berjalan dijadual mula beroperasi di seluruh negara menjelang 2030,” katanya.

Selain itu, Chong berkata pasaran modal hutang Malaysia berada pada kedudukan baik untuk membiayai peluasan kapasiti RE dan penaiktarafan grid sektor berkenaan.

Beliau berkata sektor tenaga berjaya meraih RM9.2 bilion menerusi bon dan sukuk hijau, sosial, kemampanan serta berkaitan kemampanan (GSS+) pada 2025, menjadikan jumlah terbitan tertunggak meningkat kepada RM20.9 bilion setakat akhir Disember 2025.

“Kami menjangkakan penyertaan kukuh daripada segmen RE bagi pembiayaan hutang susulan peluasan projek utiliti berskala besar serta momentum pelaburan yang semakin meningkat.

“Memandangkan kedalaman pasaran dan keluk hasil yang telah mantap, pasaran bon Malaysia amat sesuai untuk membiayai aset infrastruktur jangka panjang serta aset intensif modal lain dalam sektor tenaga,” katanya.

RAM Ratings berkata portfolio penarafan sektor tenaga di bawah liputannya yang merangkumi pelbagai utiliti dan entiti pembiayaan projek kekal stabil setakat ini.

“Setakat awal Mei 2026, sebanyak 87 peratus daripada portfolio tertunggak mempunyai penarafan AA3 atau lebih tinggi, mencerminkan kapasiti kukuh bagi memenuhi obligasi pembayaran hutang,” katanya.

-- BERNAMA