Niaga Hadapan KLCI Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan menurun disebabkan pelabur menilai perkembangan sekitar konflik Asia Barat dalam persekitaran minggu dagangan yang singkat.
Bursa Malaysia akan ditutup pada Isnin, 1 Jun dan Selasa, 2 Jun bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong serta cuti gantian Hari Wesak.
Dagangan akan disambung semula pada Rabu, 3 Jun
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pelabur dijangka memantau perkembangan di Asia Barat terutamanya sebarang kemajuan dalam rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Ketidaktentuan mungkin berterusan disebabkan oleh ketidakpastian geopolitik yang berterusan. Bagaimanapun, aktiviti belian saham harga murah boleh memberikan sedikit sokongan kepada pasaran tempatan.
“Justeru, indeks penanda aras tempatan dijangka diniagakan dalam julat 1,680-1,710 minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI diniagakan kebanyakannya lebih rendah seiring dengan pasaran tunai.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Mei 2026 susut 35.0 mata kepada 1,684.0, Jun 2026 merosot 36.5 mata kepada 1,680.0, September 2026 berkurangan 35.5 mata kepada 1,662.0 dan Disember 2026 menguncup 34.0 mata kepada 1,664.50.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 188,830 lot daripada 44,006 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 53,784 kontrak daripada 43,086 kontrak minggu lepas.
FBM KLCI mengakhiri minggu ini 29.60 mata lebih rendah pada 1,683.07 daripada 1,712.67 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA