Malaysia Kekal Penting Dalam Strategi Pertumbuhan VistaJet Sebagai Hab Penerbangan
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Malaysia kekal sebagai pasaran utama bagi strategi pertumbuhan global VistaJet, disokong oleh kedudukan strategik negara sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara dan kepentingannya sebagai hab untuk perjalanan serantau dan antarabangsa.
VistaJet ialah syarikat penerbangan piagam dan swasta dikendalikan oleh Vista Global Holding Ltd (Vista).
Presiden Vista Asia Pasifik, Crystal Wong berkata Malaysia merupakan destinasi Asia Tenggara VistaJet yang menonjol dalam tahun kewangan 2025, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun dalam jam penerbangan dan pertumbuhan 74 peratus dalam bahagian penerbangan dalam tempoh sama.
Pertumbuhan ini kebanyakannya disebabkan oleh permintaan yang kukuh dan semakin meningkat daripada korporat, usahawan dan keluarga mudah alih Malaysia di seluruh dunia, katanya.
“Malaysia merupakan pasaran pertama kami tembusi di Asia Tenggara dan kekal penting secara strategik hari ini, memandangkan permintaan terus meningkat untuk penyelesaian perjalanan fleksibel, secara terus dan terhubung secara global di seluruh rantau ini.
“Pertumbuhan serantau ini juga merupakan sebahagian daripada strategi global VistaJet yang lebih luas untuk mempertingkatkan kehadirannya dalam pasaran penerbangan yang berkembang pesat,” katanya kepada Bernama.
Menurut Laporan Kekayaan terkini dikeluarkan firma perunding hartanah Knight Frank, beberapa pasaran Asia Tenggara dijangka menyaksikan beberapa pertumbuhan terpantas di dunia dalam populasi bernilai bersih ultra tinggi menjelang 2031, termasuk pertumbuhan 20.1 peratus untuk Malaysia.
Pada skala serantau, Crystal berkata pasaran Asia Tenggara VistaJet akan terus berkembang, mendapat manfaat daripada pertumbuhan kekayaan yang kukuh, pengembangan perniagaan antarabangsa dan peningkatan permintaan untuk pesawat lebih besar dan jarak jauh.
“Kami kekal positif terhadap prestasi kami pada tahun kewangan 2026 kerana kami menjangkakan pengambilan pelanggan yang lebih kukuh pada masa hadapan, terutamanya apabila pelanggan semakin mengutamakan kecekapan masa, privasi, ketersambungan langsung dan keupayaan untuk bergerak dengan lancar antara hab perniagaan dan gaya hidup global,” katanya.
Vista adalah salah satu daripada kumpulan penerbangan swasta terkemuka di dunia dengan operasi merangkumi lebih 2,400 lapangan terbang di lebih 200 negara dan wilayah.
-- BERNAMA