BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

AMRO Semak Semula Unjuran Inflasi ASEAN+3 Kepada 1.8 Peratus Pada 2026

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 2 Jun (Bernama) -- Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menyemak semula unjuran inflasi bagi rantau ASEAN+3 kepada 1.8 peratus daripada 1.4 peratus pada 2026 dan mengekalkan anggaran pertumbuhan pada kadar 4.0 peratus.

Menurut laporan tinjauan ekonomi serantau AMRO yang terkini, semakan unjuran inflasi itu dilaksanakan berikutan gangguan berpanjangan akibat konflik di Asia Barat yang kini memasuki bulan keempat, melebihi jangkaan awal bahawa konflik itu akan selesai dalam tempoh dua bulan.

Ketua Ahli Ekonomi AMRO Dong He berkata pertumbuhan ASEAN+3 kekal berdaya tahan dengan sokongan permintaan domestik yang kukuh dan eksport teknologi.

Bagaimanapun, beliau berkata isyarat awal tekanan ekonomi mula berlaku memandangkan kos tenaga, komoditi dan logistik telah melonjak dan kekal tinggi manakala bekalan produk petroleum semakin terhad.

“Kos tenaga dan pengangkutan yang lebih tinggi menyumbang kepada inflasi serta memberi tekanan kepada rantaian bekalan industri.

“Sekiranya konflik itu berterusan, tekanan berkenaan boleh berkembang dan menjejaskan pertumbuhan serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AMRO menekankan bahawa walaupun pertumbuhan kukuh telah dicatatkan pada suku pertama, kesan konflik Asia Barat masih belum dirasai sepenuhnya, dan tempoh dan tahap terburuk konflik itu kekal menjadi risiko utama terhadap prospek ekonomi dalam masa terdekat.

Menurutnya, dalam senario yang sukar dengan harga minyak purata mencecah US$125 setong pada 2026 berbanding unjuran asas US$95 setong dan gangguan bekalan lebih buruk, pertumbuhan ASEAN+3 boleh menyusut kepada 2.5 peratus manakala inflasi berupaya meningkat kepada 3.5 peratus.

Sehubungan itu He berkata, tindak balas dasar perlu kekal tangkas seiring perkembangan kejutan ekonomi.

“Sokongan jangka pendek perlu bersasar dan sementara manakala usaha jangka panjang perlu menumpukan kepada pengukuhan keselamatan tenaga, daya tahan rantaian bekalan dan integrasi serantau,” katanya.

-- BERNAMA