BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Vista Memanfaatkan Model ‘Floating Fleet’ Untuk Kekalkan Kecekapan Operasi

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Syarikat penerbangan swasta global Vista Global Holding Ltd (Vista) memanfaatkan model floating fleet mengekalkan kecekapan operasi dan daya tahan perkhidmatan dalam persekitaran ketidakpastian geopolitik yang semakin memuncak.

Dalam industri penerbangan peribadi, model floating fleet adalah sistem pengurusan pesawat yang tidak mempunyai pangkalan untuk ia pulang setiap kali selesai membuat penerbangan.

Presiden Vista Asia Pasifik, Crystal Wong berkata model itu menyediakan fleksibiliti untuk melaraskan kedudukan, penghalaan dan penjadualan pesawat apabila keadaan tidak menentu timbul.

Beliau berkata tempoh ketidakpastian sering mengukuhkan permintaan untuk perkhidmatan penerbangan swasta kerana pelanggan lebih menghargai fleksibiliti, kawalan jadual dan akses kepada pilihan alternatif.

“Selain itu, tumpuan kami adalah pada keselamatan dan kesejahteraan pelanggan dan ahli pasukan kami, terutamanya mereka yang berada di kawasan yang terjejas. Jika perlu, kami telah mengambil langkah operasi berjaga-jaga, termasuk menggantung sementara operasi di kawasan terkesan.

“Kami akan berhubung secara langsung dengan pelanggan yang terjejas untuk menyokong sebarang pelarasan perjalanan diperlukan dan kekal berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa tempatan, pengawal selia dan penasihat keselamatan yang berkaitan dan terus memantau perkembangan dengan teliti supaya kami dapat respons dengan pantas jika keadaan berubah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengenai kesan kenaikan harga bahan api dalam persekitaran ketegangan di Asia Barat, Crystal berkata Vista kekal fokus pada kecekapan operasi dan sokongan pelanggan dan bukannya turun naik pasaran jangka pendek.

“Kami akan mengelakkan spekulasi mengenai pergerakan harga bahan api jangka pendek atau perkembangan geopolitik yang lebih luas kerana pasaran tenaga dipengaruhi oleh pelbagai faktor makroekonomi dan geopolitik global, kebanyakannya kekal berubah-ubah dan berkembang,” katanya.

Sementara itu, Crystal berkata jenama penerbangan swasta Vista, VistaJet telah memajukan strategi alam sekitar dan kemampanannya dengan menunjukkan kemajuan positif menerusi beberapa inisiatif utama, terutamanya penggunaan bahan api penerbangan lestari (SAF) dan pengimbangan karbon.

Setakat ini, VistaJet telah mengeluarkan lebih 43 juta liter SAF dan mengimbangi lebih 3.1 juta dari segi pelepasan karbon, katanya.

Vista berpangkalan di Dubai merupakan salah satu kumpulan penerbangan swasta terkemuka di dunia dengan operasi merangkumi lebih 2,400 lapangan terbang di lebih 200 negara dan wilayah.

-- BERNAMA