Institusi Tempatan, Pelabur Runcit Teruskan Belian bersih Di Bursa Malaysia
KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Institusi tempatan dan pelabur runcit terus mencatatkan belian bersih di Bursa Malaysia minggu lepas, dengan institusi merekodkan aliran masuk bersih untuk minggu keenam berturut-turut manakala peruncit untuk minggu ketiga berturut-turut, masing-masing berjumlah RM2.12 bilion dan RM410.6 juta.
Laporan aliran dana mingguan MBSB Investment Bank Bhd bagi minggu berakhir 29 Mei memaklumkan institusi asing melanjutkan jualan bersih mereka untuk tiga minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih berjumlah RM2.53 bilion.
Institusi asing adalah penjual bersih pada empat hari dagangan sepanjang minggu itu, dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada Jumaat (RM1.63 bilion), diikuti Khamis (RM397.3 juta), Selasa (RM371.9 juta) dan Isnin (RM128.8 juta).
Tiga sektor yang mencatat aliran masuk bersih daripada institusi asing adalah teknologi (RM64.0 juta), produk dan perkhidmatan industri (RM40.7 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM19.5 juta).
Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar bersih daripada institusi asing adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM881.9 juta), perkhidmatan kewangan (RM662.3 juta) dan utiliti (RM541.6 juta).
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan menyeluruh: peruncit sebanyak -1.0 peratus, institusi tempatan +20.0 peratus manakala institusi asing meningkat +171.1 peratus.
Dalam lapan pasaran Asia, pelabur asing menamatkan jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih asing sebanyak US$666.3 juta.
"Satu-satunya pasaran yang menyaksikan aliran masuk asing bersih adalah Taiwan, dengan aliran keluar diterajui Korea Selatan, diikuti Indonesia, Malaysia, India, Vietnam, Filipina dan Thailand," menurutnya.
-- BERNAMA