Malaysia Perlu Perkukuh hubungan Perdagangan, Pelaburan Dengan Taiwan Dalam Semikonduktor
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu memberikan lebih banyak tumpuan untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan terutama dalam industri semikonduktor, kata Profesor Adjung Universiti Taylor Dr Ong Kian Ming.
Beliau berkata Malaysia mempunyai peluang untuk menerima pakai pendekatan lebih strategik dalam menjalin kerjasama dengan Taiwan berikutan Taiwan adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia, sumber pelaburan langsung asing (FDI) keenam terbesar dan pemain utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
“Taiwan adalah pemain penting dalam ekosistem semikonduktor, dan Malaysia perlu mencari pendekatan untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor ini,” kata Ong yang juga bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan panel bertajuk 'Malaysia Sebagai Pangkalan Pelaburan Jangka Panjang: Kestabilan, Kepastian Dasar dan Daya Saing Kos' di sini hari ini.
Sesi perbincangan panel itu diadakan sempena Forum Perundangan dan Perniagaan Malaysia-Jepun 2026 anjuran firma guaman Malaysia RDS Partnership, dan Anderson Mori and Tomotsune (AMT), antara firma guaman perkhidmatan penuh yang terbesar dan berprestij di Jepun.
Pada masa sama, Malaysia juga perlu terus menumpukan kepada pengukuhan dasar penempatan rantaian bekalan tertentu, kata Ong sambil memaklumkan sektor automotif adalah antara bidang yang telah menunjukkan pembangunan yang stabil.
Beliau berkata negara juga perlu memanfaatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan lebih berkesan melalui kejelasan dasar yang lebih baik dan libat urus kukuh dengan rakan pelaburan utama, dalam persekitaran minat yang semakin meningkat daripada firma beribu pejabat di Singapura, termasuk syarikat multinasional.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia telah melakukan pelbagai usaha yang diperlukan untuk meyakinkan pelabur global bahawa integriti dasar dan ketekalan institusi negara akan terus kekal walaupun berlaku perubahan kerajaan atau kepimpinan politik selain cabaran global.
Beliau berkata Malaysia telah menunjukkan keupayaan untuk menguruskan dua peralihan kerajaan secara aman selain mengekalkan kestabilan dasar bagi pelabur asing dan domestik.
Menurut Ong, cabaran geopolitik termasuk langkah tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas banyak negara tahun lepas telah menonjolkan lagi kedudukan Malaysia di rantau ini dan kemampuannya untuk menarik FDI.
“Anda boleh lihat Malaysia berusaha untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan Kesatuan Eropah, dan mungkin pada masa akan datang dengan Amerika Selatan.
"Saya berpandangan bahawa pendekatan sedemikian menjadikan Malaysia mendapat perhatian sebagai sebuah negara yang berkawan dengan semua pihak supaya kita boleh terus menarik FDI ke Malaysia," katanya.
-- BERNAMA