BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Ringgit Diunjur Diniagakan Antara RM4.02 Dan RM4.04 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Ringgit diunjur diniagakan antara RM4.02 dan RM4.04 berbanding dolar AS minggu depan berikutan pelabur terus berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik yang sedang berlaku.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebuntuan rundingan Amerika Syarikat-Iran boleh menyebabkan harga bahan api terus meningkat, yang mengakibatkan tekanan inflasi yang tinggi.

“Oleh itu, perbincangan mengenai kenaikan kadar faedah global dijangka semakin mendapat momentum sekali gus menyebabkan aktiviti dagangan berhati-hati di pasaran mata wang,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata perkembangan politik tempatan terutama pilihan raya negeri akan datang iaitu di Johor dan Negeri Sembilan turut menyumbang kepada sentimen berhati-hati.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup lebih rendah kepada 4.0280/0320 berbanding dolar AS daripada 3.9625/9670 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama sepanjang minggu itu.

Ringgit menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4233/4287 daripada 5.3165/3225, susut berbanding yen Jepun kepada 2.5183/5209 daripada 2.4874/4904 dan rendah berbanding euro kepada 4.6882/6928 daripada 4.6127/6180 sebelumnya.

Mata wang itu turut diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 223.3/223.6 daripada 221.6/221.9, berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1390/1424 daripada 3.1010/1048, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.3433/3605 daripada 12.1732/1926 dan susut berbanding peso Filipina kepada 6.55/6.56 daripada 6.43/6.44.

-- BERNAMA