BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Ringgit Tinggi Berbanding Kebanyakan Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama tetapi rendah berbanding dolar AS pada dagangan awal hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh selepas data pasaran tenaga kerja AS lebih baik daripada jangkaan.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0470/0520 berbanding dolar AS daripada 4.0280/0320 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 100.069 mata selepas pasaran tenaga kerja AS menunjukkan daya tahan pada Mei.

“Sementara itu, senarai pekerjaan bukan perladangan (NFP) mencatatkan 172,000, mengatasi anggaran konsensus sebanyak 85,000 manakala kadar pengangguran kekal pada 4.3 peratus.

“Prestasi kukuh itu dijangka mendorong Rizab Persekutuan (Fed) untuk terus mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 16 hingga 17 Jun ini,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. 

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.3963/4029 daripada 5.4233/4287 dan tinggi berbanding euro kepada 4.6630/6687 daripada 4.6882/6928, bagaimanapun menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5240/5273 daripada 2.5183/5209 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1343/1384 daripada 3.1390/1424 dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.3219/3446 daripada 12.3433/3605.

Ia rendah berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.59 daripada 6.55/6.56 dan menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 224.3/224.7 daripada 223.3/223.6 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA