BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Sime Darby Property Lancar Dana RM1.25 Bilion Bagi Pembangunan Pusat Data, Logistik

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd (SDP) melancarkan dana pembangunan hartanah bernilai RM1.25 bilion dikenali sebagai New Economy Venture (NEV) bagi melabur dalam projek pusat data berkonsepkan bina mengikut keperluan penyewa dan untuk disewa serta pembangunan perindustrian dan logistik dalam rangkaian perbandaran utama syarikat itu di Malaysia.

NEV, distruktur sebagai dana tertutup patuh Syariah merupakan platform pelaburan budi bicara dengan tempoh selama lima tahun, kata SDP dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dana ini mendapat sokongan pelabur institusi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd, selain memperoleh komitmen modal 100 peratus pada penutupan pertama.

“SDP akan bertindak sebagai rakan kongsi am dan penaja dana ini serta membuat komitmen RM500.1 juta sebagai pelabur bersama pada penutupan pertama,” katanya.

Pengarah Urusan kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SDP Datuk Seri Azmir Merican berkata sebagai rakan kongsi am dan pengurus dana, peranan itu akan membolehkan syarikat mempelbagaikan aliran pendapatan berulang melalui hasil pelaburan dan pendapatan berasaskan fi daripada pembangunan aset ekonomi baharu.

Ini termasuk pusat data dan gudang yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran hartanah Malaysia, katanya.

Setakat ini, dana tersebut telah memperoleh dua aset permulaan bernilai tinggi yang terletak secara strategik dalam perbandaran utama syarikat iaitu Elmina Business Park dan City of Elmina.

Aset permulaan ini mewakili kira-kira 85 peratus daripada saiz sasaran dana dan disokong oleh perjanjian pajakan jangka panjang yang memberikan keterlihatan dan kestabilan pendapatan kepada dana, katanya.

Beliau berkata pembinaan kedua-dua aset telah bermula dan dijangka siap pada separuh kedua 2027, sekali gus mencerminkan keterlihatan pelaksanaan segera dana tersebut.

-- BERNAMA