BERITA TERKINI   Agong perkenan gelaran Tan Sri kepada Mohd Isa Samad ditarik balik berkuat kuasa 8 Jun 2026 - JPM | 

Khazanah: Pelaburan Jadi Pemacu Utama Fasa Pertumbuhan Malaysia Seterusnya

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Malaysia mesti memastikan pelaburan disalurkan untuk memperkasa firma, memperkukuh rantaian industri dan membina keupayaan bernilai tinggi bagi menyokong fasa pembangunan ekonomi negara yang seterusnya.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata memperkukuh bidang-bidang utama ini penting dan jika tidak, ekonomi berisiko terus berkembang secara aktif tanpa disertai pengukuhan yang ketara.

Katanya, memandangkan persaingan geopolitik semakin mencorak hasil ekonomi, sesebuah negara tidak lagi bersaing semata-mata dari segi kos atau akses pasaran sebaliknya dari segi daya tahan, keupayaan dan kerelevanan strategik dalam rantaian bekalan global.

“Di sinilah modal domestik memainkan peranan penting. Melalui inisiatif seperti Jelawang Capital di bawah Dana Impak dan Program Inovasi Pertumbuhan Malaysia (MGIP), Khazanah bukan sahaja berhasrat menyalurkan modal, malah memperkukuh ekosistem di sektor-sektor utama.

"Ini sekali gus membolehkan syarikat, pembekal dan bakat berkembang seiring dengan pelaburan global,” katanya menerusi perutusan dalam Laporan Khazanah 2025, hari ini.

Beliau berkata inisiatif strategik Khazanah turut memperkukuh ekosistem semikonduktor Malaysia khususnya pelaburan dalam syarikat kecerdasan buatan pinggiran (Edge AI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Syntiant.

Syarikat itu baru-baru ini berkembang menerusi kilang pembuatan di Pulau Pinang serta pelaburan dalam syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tanpa fabrikasi tempatan, SkyeChip.

“Pelaburan ini menyumbang ke arah keupayaan bernilai tinggi, peluang pekerjaan mahir serta penyertaan yang lebih mendalam dalam rantaian bekalan teknologi global,” kata beliau.

Amirul juga berkata daya saing Malaysia bukan sahaja akan bergantung kepada keupayaan menarik minat industri sebaliknya kepada usaha membina kelompok bakat tempatan yang mencukupi serta keupayaan teknikal yang diperlukan untuk mengekalkannya.

Menurut beliau program seperti K-Youth terus memperkukuh kesediaan tenaga kerja dalam sektor-sektor strategik dengan 9,934 belia dilatih pada 2025 dan melebihi 34,000 orang sejak penubuhannya.

“Tumpuan kini semakin tertumpu kepada usaha memadankan permintaan industri dengan keupayaan yang diperlukan dalam sektor semikonduktor, penerbangan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta industri digital dan teknologi.

“Rantaian bakat berkemahiran yang lebih kukuh kekal penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada keupayaan nasional yang mampan,” kata Amirul.

Pada 2025, Khazanah mencatatkan prestasi kewangan dan strategik yang mampan dengan jumlah aset meningkat sebanyak RM5 bilion kepada RM156 bilion daripada RM151 bilion pada 2024 manakala keuntungan operasinya melonjak kepada RM5.6 bilion daripada RM5.1 bilion pada 2024.

Dana kekayaan berdaulat itu turut mengisytiharkan dividen sebanyak RM2 bilion kepada kerajaan, menjadikan jumlah kumulatif dividen yang dibayar sejak 2004 sebanyak RM21.1 bilion manakala pulangan kumulatif pemegang saham sejak 2004 mencecah RM93.1 bilion

-- BERNAMA