Guna AI Untuk Berfikir Lebih Baik, Bukan Fikir Bagi Pihak Anda - CEO MDEC
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pemilik perniagaan perlu menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu tugas mereka dan tidak boleh menyerahkan proses penilaian dan pertimbangan akhir kepada teknologi tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil.
Beliau berkata walaupun AI mampu menganalisis maklumat, merumuskan kandungan yang rumit dan membantu syarikat menilai pilihan yang ada, tanggungjawab masih terletak pada manusia untuk membuat keputusan perniagaan yang sukar.
“Jangan sekali-kali menyerahkan proses pertimbangan kepada AI. Akhirnya, anda yang perlu membuat keputusan kerana itulah yang menjadikan kita manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi peneraju perniagaan, katanya pertimbangan turut melibatkan faktor yang tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada teknologi termasuk risiko, obligasi kawal selia, impak terhadap pekerja dan pelanggan, reputasi korporat dan strategi jangka panjang.
“AI dapat mempercepat analisis dan mengemukakan kemungkinan pilihan tetapi tanggungjawab untuk hasilnya perlu kekal pada mereka yang menjalankan perniagaan,” katanya.
Anuar Fariz berkata AI kini semakin penting kepada perniagaan seperti e-mel, menjadikan syarikat sukar untuk kekal berdaya saing tanpa memahami dan menggunakan teknologi tersebut.
“Bagaimanapun, pemilik perniagaan dan pemimpin kanan perlu bertanggungjawab atas penggunaannya berbanding menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada pekerja, pasukan teknologi atau perunding luar,” katanya.
-- BERNAMA