BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Selasa dipacu oleh sentimen pasaran yang bertambah baik susulan ketegangan geopolitik yang semakin mereda di Asia Barat, kata seorang peniaga.

 Namun katanya, ia turut dipengaruhi oleh jangkaan penambahbaikan keadaan bekalan getah asli serta harga minyak mentah penanda aras yang lebih rendah.

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent mencatatkan penurunan sebanyak 1.81 peratus kepada US$92.49 setong.

Beliau memberitahu Bernama bahawa niaga hadapan getah Jepun meningkat sedikit pada Selasa, disokong oleh mata wang yen yang lebih lemah.

Peniaga itu berkata eksport China berkembang 19.4 peratus tahun ke tahun, melepasi jangkaan pasaran sebanyak 15 peratus disokong oleh permintaan yang kukuh termasuk dalam sektor automobil.

Bagaimanapun, peningkatan itu dihadkan oleh jangkaan pertambahan bekalan getah asli berikutan aktiviti menoreh yang semakin meningkat di negara-negara pengeluar utama.

Sementara itu, beliau berkata jualan kenderaan di China menyusut 22.3 peratus tahun ke tahun kepada 1.53 juta unit pada Mei sekali gus melanjutkan aliran penurunan selama lapan bulan dalam sektor automotif.

"Para peniaga juga kekal berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi utama Amerika Syarikat bagi mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya berjaya dihadkan oleh data eksport China yang lebih kukuh daripada jangkaan serta sentimen pasaran yang bertambah baik susulan ketegangan geopolitik yang semakin mereda di Asia Barat, di tengah-tengah fenomena El Nino yang teruk dan cuaca panas,” katanya.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 menyusut 4.50 sen kepada 921.50 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat dua sen kepada 764.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA