Projek Pusat Data Kekal Sebagai Pemacu Pertumbuhan Sektor Pembinaan - MBSB IB
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Projek-projek pusat data dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama untuk sektor pembinaan Malaysia, disokong oleh pengembangan hiperskala, pelaburan yang semakin meningkat dalam infrastruktur digital dan lonjakan keperluan tenaga, menurut MBSB Bank Investment Bhd (MBSB IB).
MBSB IB melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata syarikat pembinaan utama seperti Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd dan Sunway Construction Group Bhd (SunCon) terus mendapat manfaat daripada pengembangan pembangunan pusat-pusat data di Malaysia.
"Keupayaan mereka dalam infrastruktur digital dan sistem bangunan perindustrian (IBS) telah membolehkan mereka mendapatkan projek pusat data yang penting, terutamanya daripada pelanggan hiperskala dengan garis masa yang mencabar," katanya.
MBSB IB berkata setakat Disember 2025, Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempunyai aliran sebanyak 56 projek pusat data dengan permintaan maksimum 7.5 gigawatt (GW), yang mana 35 projek dengan permintaan gabungan 4.5GW telah beroperasi, manakala 18 perjanjian bekalan elektrik baharu berjumlah 1.7GW telah ditandatangani sepanjang tahun itu.
"Berlatarbelakangkan ini, kontraktor utama seperti Gamuda, IJM Corp dan SunCon terus mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk kemudahan pusat data hiperskala, mendapat kontrak yang besar daripada syarikat teknologi global," katanya.
Dengan kontrak pembinaan pusat data utama bernilai antara RM13 bilion hingga RM14 bilion dan beberapa pakej mekanikal serta elektrik yang dijangka diberikan pada separuh kedua 2026, pusat data berkemungkinan kekal sebagai sumber utama penambahan tempahan dalam tangan dan pertumbuhan pendapatan bagi sektor itu dalam jangka sederhana.
MBSB IB dalam kajiannya ke atas keputusan suku pertama 2026 sektor tersebut memberitahu pendapatan bercampur-campur, dengan Gamuda dan SunCon mengatasi jangkaan, manakala IJM Corp, WCT Holdings Bhd serta Malaysian Resources Corporation Bhd melaporkan pendapatan yang lebih lemah.
“Walaupun prestasi pendapatan suku pertama 2026 bercampur-campur, pendapatan asas kekal berdaya tahan, disokong oleh pengebilan kemajuan yang lebih baik, penambahan tempahan dalam tangan yang sihat, pemulihan projek yang lebih pantas dan margin yang mantap daripada projek pusat data,” katanya.
Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa nilai kerja pembinaan yang dilakukan menokok sebanyak 8.5 peratus dari tahun ke tahun pada suku pertama 2026, menandakan pengembangan suku ke-13 berturut-turut sektor itu, dipacu oleh kerja-kerja kejuruteraan awam, bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan khusus.
Ia mengekalkan pandangan positifnya terhadap sektor berkenaan, dengan Gamuda, SunCon dan Malayan Cement Bhd sebagai pilihan utama. Aktiviti pembinaan yang kukuh, pelaburan pusat data dan pembangunan infrastruktur dijangka menyokong prospek pertumbuhan.
MBSB IB turut menaik taraf cadangannya ke atas SunCon kepada "Beli" daripada "Beli untuk Dagangan" dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM7.90, memetik rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh, tempahan dalam tangan yang besar dan pendedahan kepada projek-projek pusat data.
-- BERNAMA