Selangor Perkukuh Agenda Kemampanan Menerusi Pelaburan WTE Bernilai RM2 Bilion
KUALA SELANGOR, 12 Jun (Bernama) -- Kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya Worldwide Holdings Bhd (Worldwide) melabur kira-kira RM2 bilion untuk membangunkan tiga loji Sisa-ke-Tenaga (WTE) sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang mempertingkatkan pengurusan sisa pepejal secara mampan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ketiga-tiga loji yang dibangunkan di Jeram dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat itu dijangka memainkan peranan penting dalam menguruskan sebahagian besar sisa pepejal domestik negeri yang kini dianggarkan mencecah antara 7,000 hingga 8,000 tan sehari.
Menurut Worldwide, loji WTE 1 yang mula beroperasi di Jeram mampu memproses sehingga 1,500 tan sisa pepejal sehari dan menjana kira-kira 26 megawatt (MW) tenaga elektrik, mencukupi untuk memenuhi keperluan sekitar 26,000 isi rumah bergantung kepada corak penggunaan tenaga.
“Apabila WTE 2 siap dan beroperasi sepenuhnya, kapasiti pengurusan sisa di Jeram akan meningkat kepada kira-kira 3,500 tan sehari. Baki sekitar 2,000 tan lagi akan diuruskan menerusi loji WTE 3 di Tanjung Dua Belas.
“Ketiga-tiga loji ini dijangka dapat mengurangkan secara signifikan jumlah sisa yang perlu dihantar ke tapak pelupusan. Daripada unjuran 7,000 hingga 8,000 tan sehari, hanya sekitar 2,500 hingga 3,000 tan sisa tidak boleh dibakar (inert waste) akan terus dilupuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Operasi Loji WTE 1 di Jeram, di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Datin Paduka Norazlina Zakaria.
Mengulas perkembangan projek, Amirudin berkata loji WTE 2 dijangka siap seawal Oktober atau selewat-lewatnya November tahun ini, manakala pembinaan WTE 3 di Tanjung Dua Belas telah pun bermula.
Menurut beliau berdasarkan pengalaman pembangunan WTE 1 dan WTE 2 yang dimulakan pada 2023, tempoh pembinaan loji WTE lazimnya mengambil masa antara dua hingga dua setengah tahun untuk disiapkan.
“Bagi projek di Jeram, terdapat beberapa cabaran teknikal termasuk keperluan menangani isu zon penampan semasa pembinaan yang menyebabkan tempoh pelaksanaan mengambil sedikit masa,” katanya.
Beliau berkata loji WTE 3 dijangka mula beroperasi pada penghujung 2027 atau awal 2028, sekali gus melengkapkan rangkaian kemudahan WTE negeri yang akan meningkatkan kecekapan pengurusan sisa dan penghasilan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam pada itu, Amirudin memberi jaminan bahawa operasi semua loji WTE mematuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurutnya sistem pemantauan berpusat di bilik kawalan loji membolehkan data operasi dan bacaan pelepasan dihantar secara langsung kepada JAS bagi memastikan tahap pematuhan yang berterusan.
“Kita mengamalkan tahap ketelusan yang tinggi dan akan terus memastikan semua kriteria serta standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
-- BERNAMA