Presiden Dan CEO Kumpulan MAG Kapt Nasaruddin Dilantik Sebagai Lembaga Gabenor IATA Selama Tiga Tahun
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Kapten Nasaruddin A Bakar dilantik sebagai Lembaga Gabenor Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) semasa mesyuarat agung tahunannya yang ke-82 di Rio de Janeiro, Brazil.
Dalam satu kenyataan hari ini, MAG memaklumkan Nasaruddin akan berkhidmat dalam tempoh tiga tahun sehingga 2029.
Beliau akan menyertai barisan pemimpin industri global untuk menyediakan pengawasan strategik dan hala tuju dasar buat IATA yang kini mewakili lebih 370 syarikat penerbangan serta menyumbang kira-kira 85 peratus daripada trafik udara global.
Berdasarkan kapasiti tersebut, beliau akan menyumbang dalam membimbing jawatankuasa industri dan badan subsidiari persatuan itu mengenai isu-isu penting yang membentuk masa depan penerbangan global, menurut kenyataan itu.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Nasaruddin atas pelantikan berkenaan, Pengarah Bukan Eksekutif MAG dan Malaysia Airlines Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata ia menjadi bukti kepakaran, kepimpinan serta sumbangan berterusan Nasaruddin kepada industri penerbangan.
"Saya yakin beliau akan membawa pandangan serta perspektif yang berharga kepada lembaga gabenor sekali gus memperkukuh lagi suara Malaysia dalam arena penerbangan global serta menyokong kemajuan berterusan industri ini," tambahnya.
Sementara itu, Nasaruddin berkata beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan ahli lembaga gabenor yang lain.
Beliau akan memberikan sumbangan bermakna terhadap dialog strategik dan hala tuju dasar yang akan memperkukuh daya tahan industri, memacu inovasi serta memajukan masa depan pengangkutan udara yang lebih mampan serta saling terhubung di seluruh dunia.
Nasaruddin kini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) dan merupakan ahli lembaga tadbir urus Oneworld.
-- BERNAMA