BERITA TERKINI   PRN: Beri mandat kepada PH Negeri Sembilan, Aminuddin jadi Menteri Besar supaya masa depan lebih terjamin - PM Anwar | Saya tak pernah anggap UMNO musuh dalam Kerajaan Perpaduan - PM Anwar | 

Pasaran Getah Terus Naik Berikutan Pengukuhan Niaga Hadapan Serantau

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur melanjutkan momentum menaiknya untuk ditutup lebih tinggi pada hari ini, dirangsang oleh keuntungan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan mengenai kesesakan bekalan berkaitan cuaca, kata seorang peniaga.

Beliau berkata harapan baharu perjanjian damai antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) turut meningkatkan lagi sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penurunan dalam harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Minyak mentah Brent jatuh 4.26 peratus kepada US$86.53 setong.

Peniaga itu berkata kebimbangan mengenai bekalan getah asli turut membantu menyokong harga pasaran getah fizikal. Jabatan Meteorologi Thailand menjangkakan hujan lebat di utara Thailand, Myanmar, Laos dan utara Vietnam dari 12 hingga 17 Jun 2026, meningkatkan kebimbangan bekalan.

Sementara itu, harga minyak susut hari ini, selepas Presiden AS Donald Trump membatalkan rancangan untuk menyerang Iran, mengurangkan kebimbangan peningkatan krisis Asia Barat selepas seminggu serangan berkala.

Pada 3 petang, harga SMR 20 naik 7.5 sen kepada 928.50 sen sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok lima sen kepada 781 sen sekilogram.

-- BERNAMA