BERITA TERKINI   Presiden dan CEO Kumpulan Malaysia Aviation Group Kapten Nasaruddin A. Bakar dilantik sebagai ahli lembaga gabenor IATA  | Pemimpin agama perlu tangani keperluan golongan muda berdepan ancaman maklumat palsu didorong oleh AI - Sultan Perak | Keamanan dinikmati Malaysia kini membuktikan toleransi, keharmonian antara agama boleh dicapai - PM Anwar | Islam adalah agama Persekutuan, perlu pastikan setiap warganegara berasa selamat, dilindungi dan dihormati sama rata - PM Anwar | Pemimpin agama kekal relevan sebagai suara hati nurani, kewarasan dan toleransi dalam dunia pascanormal - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Kemuka Pertanyaan UMA Kepada Paragon Union Selepas Harga Saham Susut

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada Paragon Union Bhd berikutan penyusutan mendadak harga saham syarikat itu hari ini.

Pada 4.41 petang, harga saham kumpulan itu susut sebanyak RM1.39 atau 29.83 peratus kepada RM3.27 daripada RM4.66 semasa ditutup pada Khamis.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bursa menasihatkan pelabur untuk mengambil maklum mengenai jawapan syarikat terhadap pertanyaan UMA, yang akan disiarkan di laman web Bursa Malaysia di bawah ruangan pengumuman syarikat.

Bursa Malaysia memaklumkan pihaknya meminta Paragon Union untuk memastikan sama ada terdapat sebarang perkembangan penting yang tidak didedahkan, termasuk perkara yang masih dalam peringkat rundingan atau perbincangan, yang boleh menyumbang kepada pergerakan mendadak harga sahamnya.

Bursa turut meminta penjelasan sama ada terdapat khabar angin atau laporan berkaitan perniagaan dan urusan syarikat yang mungkin mempengaruhi aktiviti dagangannya dan sama ada syarikat mengetahui faktor lain yang boleh menyebabkan pergerakan mendadak harga saham itu.

Selain itu, Bursa Malaysia turut meminta pengesahan bahawa Paragon Union telah mematuhi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, terutama berkaitan obligasi pendedahan segera.

Bursa Malaysia memaklumkan kandungan respons syarikat itu perlu disahkan oleh lembaga pengarah Paragon Union sebelum dikemukakan melalui sistem Bursa LINK.

-- BERNAMA