BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Kebanyakannya Lebih Rendah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR,15 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya lebih rendah pada Isnin, menjejaki penurunan dalam minyak kacang soya. 

Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM telah menunjukkan ‘daya tahan yang luar biasa’ pulih daripada penurunan awal dan bukannya susut lebih jauh. 

Beliau berkata kebimbangan mengenai peningkatan penjualan minyak sawit Indonesia ‘berkemungkinan’ reda selepas agensi eksport komoditi Indonesia dilaporkan akan memberi tumpuan kepada pengawasan harga eksport bahan mentah utama dan bukannya campur tangan dalam perdagangan. 

“Selanjutnya, satu mesyuarat mengenai peruntukan biodiesel B650 Indonesia akan diadakan, dan ia akan menjadi panduan kepada tindakan harga minyak sawit pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama. 

Pada penutup, kontrak Jun 2026 meningkat RM19 kepada RM4,406 setan, tetapi kontrak Julai berkurang RM23 kepada RM4,412, manakala Ogos 2026 dan November 2026 masing-masing susut RM24 kepada RM4,451 dan RM4,547.

Kontrak September 2026 turun RM26 kepada RM4,485 setan, dan kontrak Oktober 2026 berkurang RM29 kepada  RM4,515.

Jumlah dagangan merosot kepada 72,726 lots daripada 119,170 pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 281,385 kontrak berbanding 283,513 sebelumnya. 

Sementara itu, harga MSM fizikal bagi Jun Selatan berkurang RM40 kepada RM4,430 setiap tan. 

-- BERNAMA