BERITA TERKINI   Agong zahir takziah dua anggota tentera maut letupan bom di Kem Hobart | PH kekal fokus kebajikan rakyat, tidak pandang sambil lewa kewujudan parti baharu - Fahmi | Kerajaan dalam usaha tambah 10 set tren komuter baharu Shuttle Selatan untuk perkukuh perkhidmatan rel di Johor - Loke | Letupan di Kem Hobart : Siasatan terperinci dijalankan, kenal pasti punca kejadian - TDM | Letupan di Kem Hobart: Dua anggota yang maut dikenali Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah Sungip - TDM | 

Usaha Bermakna Daripada Tiktok Dalam Memajukan Pemerkasaan Digital - MDEC

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Platform yang memupuk inovasi, keterangkuman dan pertumbuhan mampan, seperti TikTok, menyokong usaha Malaysia dalam membangunkan masyarakat dipacu secara digital, menurut Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata dengan sumbangan dianggarkan hampir satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia dan empat peratus kepada ekonomi digital, kehadiran TikTok dalam landskap digital tempatan adalah penting.

“Ini menekankan kepentingan platform seperti TikTok Shop yang semakin meningkat, serta pendekatan dunia perdagangan digital yang telah mengubah cara rakyat Malaysia berinteraksi, menemui, dan membeli produk.

"Evolusi ini memperluas akses, mengurangkan sekatan untuk memasuki pasaran serta membolehkan perniagaan daripada pelbagai saiz mencapai pasaran yang sebelum ini sukar ditembusi," katanya dalam Laporan Impak Sosioekonomi Malaysia 2025 oleh TikTok.

Anuar Fariz berkata perubahan itu melangkaui pertumbuhan e-dagang, mencerminkan satu bentuk pemerkasaan digital yang lebih kukuh apabila kepercayaan, penceritaan dan keterlibatan mengubah perhatian menjadi peluang ekonomi.

Mengulas laporan itu, beliau berkata Laporan Impak Sosioekonomi Malaysia 2025 mengetengahkan hasil yang nyata termasuk menyokong 147,000 pekerjaan, pengaktifan lebih satu juta perniagaaan tempatan serta latihan kemahiran digital untuk lebih 100,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi kerjasama dengan agensi seperti MDEC.

"Semua hasil ini membawa kepada pendapatan sebenar, diperoleh dengan tetap dan mengalir terus kepada poket rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata pemerkasaan digital bukan semata-mata mengenai pertumbuhan, malah juga mengenai usaha untuk memastikan Malaysia merealisasikan pembangunan mampan di samping pengagihan yang saksama dan adil merentas kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.
 
“Ketika Malaysia meneruskan usaha digitalnya, penyelidikan empirikal dan data seperti maklumat yang terkandung dalam laporan ini mempunyai peranan penting dalam menguar-uarkan dasar, membentuk amalan industri serta meningkatkan pemahaman orang ramai," katanya.

Peluang dalam ekonomi digital adalah besar namun nilai sebenarnya bergantung kepada cara untuk menyumbang kepada aspirasi jangka masa panjang Malaysia bagi pembinaan Negara AI.

"Saya memuji TikTok atas usaha bermakna yang dilaksanakan dalam memperhebat pemerkasaan digital. Melalui kerjasama berterusan antara kerajaan, industri dan masyarakat secara keseluruhan, kita dapat membina ekonomi digital yang mengubah peluang menjadi hasil sebenar untuk rakyat,” katanya.
-- BERNAMA