Affin Hwang Investment Bank Lancar ELI Bagi Bantu Pelabur Teroka Ketidaktentuan Pasaran
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Affin Hwang Investment Bank Bhd hari ini melancarkan Pelaburan Berkaitan Ekuiti (ELI) bagi menyediakan pendedahan tersuai kepada pelabur terhadap pelbagai aset asas sambil menyokong objektif pasaran dan kepelbagaian pulangan risiko di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hanif Ghulam Mohammed berkata ELI berada dalam kedudukan yang baik untuk menunjukkan prestasi dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu terutamanya ketika tempoh ketidaktentuan membebankan instrumen pelaburan tradisional.
“Struktur ini tereka bentuk untuk menukar turun naik yang sama kepada hasil yang dipertingkatkan.
“Produk ini dengan jelasnya mentakrifkan risiko pendahuluan, selain memberikan kadar kupon yang lebih tinggi kepada pelabur berbanding produk tradisional,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ELI di sini hari ini.
Sementara itu, pada sidang media, beliau berkata tidak seperti pelaburan ekuiti langsung, ELI membolehkan pelanggan memperoleh pulangan kupon yang lebih tinggi, selain menawarkan kemungkinan memperoleh saham asas pada harga di bawah pasaran semasa sekiranya berlakunya pertukaran.
“Atas sebab itulah kami menggalakkan pelanggan yang tidak mempunyai pandangan pasaran yang kukuh untuk mempertimbangkan pelaburan berstruktur jenis ini, kerana ia menawarkan pendapatan kupon yang lebih tinggi dan memastikan pulangan yang lebih baik berbanding pelaburan ekuiti langsung,” katanya.
Mengenai pulangan, beliau berkata secara amnya, ELI menawarkan hasil melebihi deposit tepat tradisional, yang biasanya memberikan pulangan kira-kira 3.5 hingga empat peratus setahun.
“Bergantung kepada ekuiti asas yang dikaitkan dengan struktur, kadar kupon boleh berkisar antara lima peratus hingga setinggi 18, 19 atau 20 peratus.
“Bagaimanapun, produk ini adalah tersedia hanya kepada pelabur yang sofistikated, selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa ELI bukanlah produk dilindungi prinsipal, iaitu bermaksud pelabur menanggung risiko modal sebagai pertukaran bagi potensi pulangan yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh produk tradisional biasa.
Dalam pada itu, menerusi struktur tersuai, ELI membolehkan pelabur mencapai objektif portfolio tertentu, termasuk meningkatkan potensi hasil, menguruskan pendedahan penurunan dan menyasarkan hasil pulangan yang ditetapkan.
Pada masa ini, ELI yang ditawarkan oleh Affin Hwang dikaitkan dengan saham individu yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
-- BERNAMA