DUNIA

Lufthansa Lanjutkan Penggantungan Penerbangan Ke Beirut, Tehran Sehingga 2025

23/10/2024 09:16 PM

FRANKFURT, 23 Okt (Bernama-dpa) -- Kumpulan Lufthansa Jerman akan melanjutkan penggantungan penerbangan ke Beirut dan Tehran sehingga tahun depan, berikutan konflik yang berterusan di Timur Tengah, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Syarikat yang berpangkalan di Frankfurt itu, yang mengendalikan jenama utama Lufthansa dan memiliki beberapa syarikat penerbangan subsidiari, pada Rabu mengumumkan ia membatalkan penerbangan ke ibu negara Lubnan sehingga 28 Februari 2025.

Lufthansa juga tidak akan membuat penerbangan ke Tehran sekurang-kurangnya sehingga 31 Januari.

Pengumuman terkini itu dibuat sehari selepas syarikat berkenaan melanjutkan penggantungan penerbangan ke Tel Aviv di Israel sehingga 10 November.

Penumpang yang terjejas oleh pembatalan ini boleh menempah tarikh lain tanpa caj atau menerima bayaran balik.

-- BERNAMA-dpa

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy