AM

MAPIM Agih Kotak Bantuan Makanan Kepada Lebih 200 Penduduk Flat Desa Pandan

27/10/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini mengagihkan kotak bantuan kepada lebih 200 penduduk Flat Desa Pandan menerusi program Jelajah Peduli Ummah: ‘Program Ummah Bantu Ummah Sejahtera Insan Al-Falah’.

Setiausaha Agung MAPIM Muhammad Faris Hussain berkata program itu menjadi platform untuk menyemarakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan nilai murni dan tanggungjawab sosial. 

Selain kotak bantuan makanan asas, beliau berkata pihaknya turut memberikan pek makanan yang disediakan oleh dapur bergerak atau Mobile Kitchen selain perkhidmatan kesihatan percuma melalui ‘Mobile Clinic’

“Penduduk Flat Desa Pandan dapat menjalani pemeriksaan kesihatan asas seperti pemeriksaan tekanan darah, tahap gula dalam darah serta mendapatkan nasihat kesihatan secara percuma,” katanya. 

Beliau berkata ketika berucap pada program “Jelajah Peduli Ummah: Program Ummah Bantu Ummah Sejahtera Insan Al-Falah” yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani di sini hari ini. 

Muhammad Faris berharap program berkenaan dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai individu dan organisasi untuk turut serta dalam aktiviti amal yang mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka yang memerlukan.

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan sesi ‘Ziarah Peduli Ummah’ bagi melawat secara langsung rumah asnaf dan individu yang terlantar sakit di Flat Desa Pandan. 

Sesi itu sebahagian daripada aktiviti program Jelajah Peduli Ummah selain bagi menyantuni dan memberikan sokongan secara langsung kepada pesakit terlantar dan warga emas yang memerlukan rawatan khusus. 

Beliau berkata menerusi program Jelajah Peduli Ummah, MAPIM turut menyasarkan untuk membantu 100,000 rakyat yang memerlukan di beberapa negeri lain yang akan dikunjungi. 

Program Peduli Ummah mendapat sokongan penuh rakan strategik seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Cinta Gaza Malaysia (CGM), ZUS Coffee dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM). 

Sementara itu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ketika ditemui media berkata pihaknya berterima kasih kepada MAPIM kerana memilih penduduk dalam kalangan keluarga B40 di bawah Parlimen Titiwangsa untuk disalurkan bantuan. 

“MAPIM bercadang memberikan bantuan, jadi sebagai wakil rakyat kita tolong. Kita menyusun semua perkara supaya, mereka (MAPIM) mudah mendekati masyarakat … jadi kita ini sebagai perantara untuk mereka (MAPIM) mencari orang yang memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy