PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berharap sambutan Deepavali tahun ini diraikan dengan penuh kegembiraan dan semangat kekeluargaan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut mengajak orang ramai untuk balik ke kampung dan meraikan Deepavali bersama keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.
"Bila dah balik rumah, kita akan bersama ibu bapa, keluarga, (jadi) pada masa itu pastikan kita dalam kegembiraan, suasana kekeluargaan. Biarlah ini menjadi satu teladan setiap kali ada perayaan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ramanan turut menasihati orang ramai untuk berhati-hati di jalan raya dan sentiasa mementingkan keselamatan walau di mana saja berada.
"Nasihat saya kepada semua warga Malaysia, bukan sahaja yang berbangsa India, berhati-hati di jalan raya semasa balik (ke kampung). Itu paling penting, keselamatan dan kesihatan," katanya.
Beliau turut menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Sungai Buloh anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dari pukul 10 pagi hingga 2 petang pada 10 Nov ini.
Ramanan berkata istimewanya rumah terbuka itu ialah pengunjung berpeluang menikmati makanan dan minuman yang disediakan peniaga di gerai-gerai di sekitar Sungai Buloh.
"Di kawasan Sungai Buloh, warga tempatan mungkin sudah mencuba semua jenis makanan yang dijual di kawasan ini, di rumah terbuka itu nanti, orang dari luar pun boleh merasa air tangan peniaga Sungai Buloh.
"Antara hidangan yang akan disajikan ialah sate barbeku, laksa, ayam gepuk serta makanan tradisional pelbagai kaum," katanya yang menyasarkan jumlah pengunjung kira-kira 4,000 orang.
-- BERNAMA