PARIS, 30 Okt (Bernama-WAFA) -- Perancis pada Selasa meluahkan kekesalan atas keputusan Parlimen Israel meluluskan dua rang undang-undang yang melarang Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Israel, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) dengan memetik Kementerian Luar Perancis.
"Pelaksanaan undang-undang ini akan membawa kesan serius terhadap situasi kemanusiaan yang sudah pun serius di Gaza dan seluruh Wilayah Palestin yang diduduki, dengan menafikan ratusan ribu orang awam daripada menerima bantuan penting seperti tempat tinggal, penjagaan kesihatan, pendidikan dan makanan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
"Selama lebih 70 tahun, UNRWA telah memainkan peranan penting dan tidak boleh digantikan dalam menyediakan barangan dan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Gaza, serta di negara-negara yang menerima mereka – Lubnan, Jordan dan Syria," katanya.
Perancis mengulangi sokongannya kepada UNRWA, berjanji akan "terus memastikan pelaksanaan pembaharuan yang diperlukan untuk menjamin keberkecualiannya, khususnya saranan dalam Laporan Colonna.
"Kami juga mengulangi sokongan kami kepada semua agensi PBB yang bekerja di lapangan untuk membantu penduduk Palestin," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-WAFA