GAYA HIDUP

Hamil Tidak Halang Nabila Razali Kekal Aktif, Cadang Rehat Disember Depan

01/11/2024 10:32 AM

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Baru sahaja mengumumkan kehamilan sulungnya baru-baru ini, penyanyi dan pelakon jelita Nabila Razali tidak menjadikan keadaannya itu sebagai penghalang untuk terus bergiat aktif sebagai pelakon serta penyanyi. 

Meluahkan rasa syukur kerana tidak mengalami sebarang alahan, Nabila berkata beliau juga sempat menjalani pengambaran drama Bawah Payung Awan pada trimester pertamanya. 

“Alhamdulillah... dipermudahkan, dan penggambaran Bawah Payung Awan semasa trimester pertama hari itu pun sudah selesai.

“Alahan pelik-pelik tidak ada, cuma mengidam makan Burger Ramly dan kek Victoria Sandwich, macam suami (pula) awal-awal itu ada sakit-sakit badan, tetapi Bella masih belum (rasa apa-apa) sebab sekarang pun masih aktif lagi ini.

“Sakit badan itu normal tetapi kuranglah berbanding suami,” katanya ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024) baru baru ini. 

pic-2

Pelakon berusia 32 tahun itu juga masih giat mempromosikan lagu Tangis yang merupakan runut lagu drama bersiri yang menggandingkannya dengan pelakon Ben Amir.

Berhasrat untuk mula berehat Disember ini, penyanyi yang ramah disapa Bella itu mendedahkan bakal melancarkan lagu baharu tidak lama lagi, namun enggan mendedahkan butiran lanjut. 

"(Lagu baharu) ini juga satu daripada projek istimewa yang Bella sendiri sangat-sangat teruja dan tak sabar nak kongsi,” katanya yang dijangka bersalin pada awal Januari depan.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy