Oleh Mohd Afiq Zulkifli
JERANTUT, 11 Nov (Bernama) -- Seorang anggota Grup Gerak Khas (GGK) Tentera Darat muncul juara edisi pertama larian Taman Negara Ultra bagi kategori 50 kilometer (km) terbuka lelaki yang berlangsung di Taman Negara Kuala Tahan di sini semalam.
Yusof Abdul Manan, 36, menamatkan larian berbentuk trail run itu dengan catatan masa lima jam 48 minit 20 saat.
Berkongsi kejayaan itu, Yusof berkata larian Taman Negara Ultra bukan sesuatu yang mudah untuk ditamatkan kerana pelari perlu menghadapi pelbagai cabaran dan halangan, lebih-lebih lagi laluan itu tidak pernah digunakan untuk acara larian.
pic-2
“Trek itu baru dibuka. Kalau tak ada kekuatan mental dan fizikal, memang tak boleh habiskan. Tambahan pula berlari pada waktu pagi yang masih gelap serta kawasan berbukit, jadi memerlukan fokus serta kemahiran yang tinggi,” katanya kepada Bernama.
Selain menempuh kawasan hutan dan berbukit dengan ketinggian melebihi 400 meter, pelari juga merentasi beberapa anak sungai dan sebuah perkampungan Orang Asli.
Yusof yang kini bertugas di Kem Iskandar, Mersing, Johor, tidak menolak kejayaannya itu juga disumbangkan oleh latihan fizikal berterusan yang perlu dijalaninya selaku seorang anggota GGK atau komando.
pic-3
Sementara itu, pelari wanita Halimatun Saadiah, 31, berkata larian Taman Negara Ultra tersebut memberikan pengalaman berbeza kerana peserta dapat menikmati keindahan panorama rimba termasuk kepelbagaian flora dan fauna.
“Walaupun tidak masuk ke dalam kawasan Taman Negara, suasana tetap ada kerana larian melalui sempadan taman negara,” katanya.
pic-4
Pengarah acara larian itu Rasdan Salleh berkata acara tersebut berjaya menarik lebih 600 peserta daripada 13 negara, dan diadakan sebagai persediaan penganjuran larian berskala lebih besar di daerah ini bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas yang positif daripada peserta dari segi teknikal dengan laluan yang disediakan cukup baik, selain kemudahan 'checkpoint' dan ‘tagging’ di sepanjang laluan bagi menjamin keselamatan peserta,” katanya.
Larian Taman Negara Ultra itu dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu 50 km, 30 km dan 15 km dengan peserta dikehendaki menamatkan larian mereka dalam tempoh yang ditetapkan.
-- BERNAMA