AM

SSL Ternakan Ruminan Sarawak Akan Dipertingkat Kepada 25 Peratus Menjelang 2030

14/11/2024 02:45 PM

KUCHING, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak menyasarkan peningkatan pembangunan ternakan ruminan di negeri itu bagi memenuhi permintaan daging tempatan.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata negeri itu telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) daging lembu sedia ada dari 15 peratus kepada 25 peratus pada 2030.

Abdul Rahman berkata untuk mencapai sasaran ini, populasi ternakan ruminan perlu ditingkatkan kepada 80,000 ekor. 

“Populasi ternakan ruminan setakat tahun 2024 adalah dalam lingkungan 35,000 ekor berbanding 32,000 ekor pada tahun 2023.

“Peningkatan sebanyak 3,000 ekor ini telah memberikan dorongan kepada kementerian saya untuk terus memantapkan usaha bagi membangunkan industri ternakan ruminan, termasuk menggalakkan penyertaan pihak swasta bagi penternakan ruminan berskala komersial dan moden,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Miro Simuh (GPS-Serembu) yang ingin tahu perancangan kementerian itu dalam pembangunan ternakan ruminan di Sarawak, contohnya seperti rangka tindakan dalam merancakkan lagi industri ternakan.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rundi berkata sejumlah RM40 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program untuk ternakan ruminan yang selaras dengan pelan tindakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy