KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Karya agung Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan berjudul “Sirih Bertepuk Pinang Menari” akan dipentaskan di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, pada 29 dan 30 Nov serta 1 Dis ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata pementasan karya itu yang bermula pada 8.30 malam, bertujuan memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan.
“Program ini memberi peluang kepada JKKN dan pertubuhan bukan kerajaan seni budaya untuk mengetengahkan karya seni negara, mempergiatkan persembahan teater serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berharap program itu akan menjadi daya tarikan pelancong dan menjadi platform kepada pengkarya seni budaya untuk mementaskan karya-karya seni budaya berteraskan negeri-negeri seperti tari, muzik dan teater.
pic-2
Menyifatkan Sasterawan Negara yang ketujuh itu sebagai unik, kreatif dan prolifik, beliau berkata kemunculan Noordin dalam dunia drama Melayu moden dan teater tanah air telah memberi nafas baharu kepada bidang kesusasteraan Melayu.
“Keberanian beliau dalam mengutarakan konsep pendramaan baharu yang bersifat antirealisme, iaitu drama absurd dan eksperimental telah membuka dimensi baharu dalam dunia drama di Malaysia.
“Beliau mengetengahkan konsep teater fitrah dan sering bereksperimen dengan bentuk drama baharu berlandaskan tradisi budaya Melayu,” katanya.
Karya-karya terkenal Noordin antaranya Bukan Lalang Ditiup Angin, Peran, Anak Tanjung, Jangan Bunuh Rama-rama, Cindai, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Tiang Seri Tegak Berlima dan Mana Setangginya
pic-3
Teater Sirih Bertepuk Pinang Menari arahan Dr Marlenny Deenerwan ini menghimpunkan 47 kru produksi termasuk 22 pelakon, antaranya Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi dan Shasha Fairus yang telah menjalani latihan sejak 22 Sept lepas.
“Bukan setiap hari kita berpeluang menonton sebuah karya penuh dengan makna dalam penceritaan, malah bukan mudah untuk ditafsir, kisah yang penuh dengan pendekatan fitrahnya dan pemikiran unik daripada seorang tokoh yang sangat disanjungi,” katanya.
Mohd Amran berkata teater itu dapat mengajar masyarakat berfikir dengan lebih kritis dan menghargai sebuah karya yang tidak mudah ditafsir dengan pemikiran biasa.
Bagi mencambahkan lagi pemikiran masyarakat mendekati alam fikir tokoh itu, sebuah forum berjudul "Noordin Hassan: Eksperimentalis Yang Merentas Masa" akan diadakan pada 2 petang, 30 Nov ini, di Balai Seminar Aras 6, Wisma DBP di sini.
pic-4
Forum dibuka secara percuma kepada orang ramai itu menampilkan Sasterawan Negara Datuk Anwar Rethwan, Tan Sri Johan Jaaffar dan Dr Norzizi Zulkifli sebagai ahli panel, manakala Kamarulzaman Taib atau Chekem akan bertindak sebagai moderator.
Pementasan karya agung itu dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya) dengan kerjasama DBP
Program itu merupakan antara usaha pembangunan dan pelestarian kesenian teater, memelihara dan memperkasa warisan budaya Melayu, menyediakan platform kepada penggiat seni untuk mempersembahkan bakat mereka serta menggalakkan pementasan karya bermutu tinggi.
Pas masuk berharga RM20 untuk orang awam dan RM15 untuk pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya boleh didapati dengan mengimbas kod QR pada poster di Instagram rumpunsenimekarbudaya atau WhatsApp ke talian 010-8226091 (Cik Aroha) atau 018-2494933 (Cik Arissa) atau layari laman sesawang JKKN diwww.jkkn.gov.my ataupun media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.
-- BERNAMA