KUCHING, 16 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) dan industri kewangan menganjurkan Karnival Celik Kewangan (KCK) Sarawak selama tiga hari, bermula semalam.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan majlis karnival itu di sini hari ini, menandakan berakhirnya Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2024.
“Semasa FLM ini, “Skuad Celik Kewangan” FEN mengembara ke lebih 90 lokasi pada jerayawara di seluruh negara, dari 1 Okt hingga 10 Nov yang melibatkan pelajar-pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), usahawan mikro, Orang Asli dan kumpulan berpendapatan rendah ,” kata FEN dalam satu kenyataan.
Dalam program itu, FEN menawarkan sumber pendidikan kewangan percuma yang membantu rakyat Malaysia meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka.
KCK Sarawak dijangka menarik 20,000 pengunjung dan berfungsi sebagai hab sehenti untuk orang ramai di Kuching mendapatkan nasihat mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna kewangan dan bagi mengetahui trend terkini dalam pengurusan kewangan.
Selain itu, gerai pameran di KCK Sarawak menyediakan pelbagai sumber, menampilkan acara yang merangkumi aktiviti-aktiviti interaktif, ceramah poket, cabutan bertuah, larian ria, pertandingan cosplay celik kewangan dan konsert mini.
Berucap pada majlis perasmian, Uggah memuji usaha kerajaan Sarawak dan BNM untuk menyokong ekonomi digital dan agenda keterangkuman kewangan, termasuk mempromosikan e-pembayaran dan dompet tanpa tunai serta mewujudkan pusat-pusat akses fizikal.
Beliau berkata Pasar Serikin yang bersempadan dengan Sarawak, kini merupakan pasar sempadan tanpa tunai pertama di Malaysia menerusi inisiatif BNM, Paynet, institusi kewangan dan Pejabat Daerah Bau.
“Inisiatif ini bukan sahaja menjana peningkatan ekonomi kepada masyarakat setempat tetapi juga membantu meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat luar bandar di Serikin dan kesediaan mereka untuk menerima ekonomi digital,” tambahnya.
Sementara itu, Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata penemuan terbaru daripada Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2024 bank pusat itu mendedahkan kira-kira 92 peratus rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kewangan digital.
“Sememangnya perkembangan ini mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada rakyat seperti pekerja gig dan perniagaan dalam talian.
“Bagaimanapun, sementara teknologi memudahkan transaksi kewangan, kita mesti kekal berwaspada dan dilengkapi dengan pengetahuan yang mencukupi bagi melindungi keselamatan transaksi kewangan,” katanya.
KCK Sarawak juga memperkenalkan “Program Pengurusan Kewangan Peribadi untuk Guru-Guru” bagi melengkapkan guru dengan celik kewangan dan kemahiran pembangunan peribadi untuk meningkatkan kapasiti mereka dalam menyampaikan pendidikan kewangan di sekolah dengan berkesan.
Program melatih untuk pelatih ini merupakan usaha kerjasama antara sektor awam dan swasta, melibatkan Kementerian Pendidikan.
Program perintis itu akan bermula di Sarawak dan akan diperluaskan tahun depan untuk melibatkan lebih 5,000 guru di seluruh negara.
-- BERNAMA