AM

PKPS Kenal Pasti Tiga Lagi Lokasi ‘Ehsan Mart’

18/11/2024 04:48 PM

PETALING JAYA, 18 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah mengenal pasti tiga lagi lokasi baharu pasar raya Ehsan Mart yang akan dibuka dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata lokasi itu ialah dua di Ampang dan satu di Hulu Klang, Selangor.

“Seperti diumumkan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) tahun hadapan akan dapat RM30 juta peruntukan… jadi kita dah perlu mula buka 10 premis Ehsan Mart dan masih ada lagi program lain yang perlu kami laksanakan secara kerjasama dengan kita punya rakan kongsi dan pemain industri.

“Tujuh lagi kawasan pembukaan pasar raya itu akan dikenal pasti berdasarkan permintaan dan densiti penduduk yang memerlukan Jualan Ehsan Rahmah (JER),” katanya kepada pemberita di tapak Inisiatif Pendapatan Rakyat Cili Fertigasi di Pelangi Damansara di sini hari ini.

Pembukaan pasar raya itu yang menawarkan harga barangan asas 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran ialah kesinambungan program JER anjuran PKPS sejak Ogos 2022.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan negeri menerusi Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan sejumlah RM30 juta bagi pelaksanaan JER 2025 dan Ehsan Mart.

Mohamad Khairil berkata PKPS juga telah bersedia untuk meneruskan JER, yang pada kali ini akan lebih tertumpu di dalam premis, berbanding sebelum ini yang dilaksanakan menggunakan lori.

“Macam pada pilihan raya hari itu kita sudah gerakkan 15 lori, sekarang kita mula untuk kurangkan kerana rakyat sudah boleh keluar kerana sudah bukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi kita buat dalam premis,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy